
Oleh Syed Hisham Shah (Gua Musang)
GUA MUSANG, 9 Sept – Operasi pencarian kanak-kanak hilang di SK Tohoi Gua Musang memasuki hari ke-18 hari ini dengan lokasi pencarian dipecahkan kepada 6 zon untuk memastikan operasi dilakukan dengan teliti.
Komander Operasi. Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superitendan Saiful Bahri Abdullah berkata, “setakat hari ini, 8okm persegi kawasan pencarian telah diliputi dan operasi bergerak ke arah kawasan Gawin yang terletak sekitar 40km dari pusat operasi setelah mendapat maklumat daripada orang ramai.”
“Sebanyak 70 peratus kawasan pencarian telah pun diliputi oleh pihak penyelamat,” jelas beliau lagi kepada wartawan MalaysiaAktif.
Operasi bersama ini disertai oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, dan Bomba dan Penyelamat Malaysia.
Seramai tujuh orang anak orang asli dari Kampong Penad dan Kampong Gawin hilang sejak 23 Ogos lalu. Biarpun melewati 2 minggu kehilangan mereka, ibu bapa mangsa masih berharap agar kehilangan mereka ditemui.
Mangsa terdiri daripada, Linda Rosli, 8, Norieen Yaakob,10, Haikal Yaakob,8, Juwina a/p David,7, dan Ika Ayel,9 dari Kampong Penad, manakala Sasa a/p Sobrie,8, dan Miksudiar Alut, 11 dari Kampong Gawin.