Skip to main content
HomeViral

Sasar 90 Peratus Anak Tempatan Mengajar Di Sabah/Sarawak

By 17 September 2015Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh: Faris Fuad

KOTA KINABALU, 17 Sept (Malaysiaaktif) – Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahadzir memaklumkan hari ini bahawa pihaknya akan memperkenalkan satu pasukan baru di Sabah dan Sarawak bagi mencapai objektif 90 peratus anak tempatan berkhidmat di dua negeri tersebut.

Beliau berpendapat ia ditubuhkan bagi memberi ruang kepada pasukan itu mendapatkan maklumat sebagai persiapan dalam tempoh tiga tahun akan datang.

“Maklumat mengenai sekolah dan jumlah guru kita sudah ada, tetapi maklumat yang kami mahu kumpul ini termasuk jumlah graduan (anak tempatan) dalam bidang pendidikan yang tidak berpeluang menjadi guru,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Sehati Sejiwa Bersama Warga Pendidikan Sabah di Dewan Saadah, Wisma MUIS, Kota Kinabalu, Sabah hari ini.

Mahadzir turut menjelaskan pemilihan akan dibuat berdasarkan maklumat yang diperoleh supaya calon yang dipilih sesuai dilantik sebagai guru.

“Calon-calon ini kita tidak akan ambil semua tetapi kita akan tengok kriteria calon berkenaan dahulu. Ini juga boleh mempercepatkan proses untuk meningkatkan peratusan guru tempatan.

“Kami juga berpandangan sekiranya calon berasal dari Pantai Timur Sabah, adalah lebih baik mereka ditempatkan di Pantai Timur Sabah dan sekiranya calon itu dari pedalaman, kita hantar mengajar di kampungnya, tetapi perkara ini masih dalam kajian,” katanya.

Setakat ini dilaporkan sebanyak 82 peratus  anak tempatan Sabah mengajar di sekolah rendah, manakala 73 peratus berkhidmat di sekolah menengah.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mensasarkan 90 peratus tenaga pengajar terdiri daripada penduduk di Sabah dan Sarawak untuk bekerja di negeri mereka dalam tempoh tiga tahun akan datang.

 

Tinggalkan komen anda