Skip to main content
HomeViral

Pendekatan Sesuai Perlu Untuk Pupuk Patriotisme Generasi-Y

By 16 September 2015September 17th, 2015Tiada komen2 minit bacaan

 

KUALA LUMPUR, 16 Sept — Usaha memupuk semangat patriotisme dalam kalangan generasi muda memerlukan pendekatan yang selari dengan usia dan minat mereka, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Johari Abdul Ghani.

Beliau berkata pendekatan itu perlu agar generasi muda sentiasa dapat menyelami erti kemerdekaan yang sebenar.

Sebagai contoh, pembelajaran subjek sejarah yang diajar di sekolah hendaklah menggunakan pendekatan yang berbeza daripada dahulu sejajar dengan zaman internet dan IT sekarang, katanya ketika merasmikan Program Apa Kata Gen-Y di Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Jalan Sultan Ismail di sini.

Johari berkata Generasi-Y (Gen-Y) merupakan bakal pemimpin negara yang memikul tanggungjawab untuk memimpin dan mempertahankan kemerdekaan negara pada masa hadapan.

“Justeru pemimpin dan rakyat hendaklah bersama-sama mempunyai rasa tanggungjawab dalam mempertahankan kedaulatan negara, kata Johari yang juga Anggota Parlimen Titiwangsa Program ini turut dihadiri Prof Datuk Dr Mazliham Mohammad Suud, Presiden UNiKL dan Sukari Abdul Hamid, Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia.

Program anjuran Jabatan Penerangan WPKL yang berbentuk forum ilmiah itu diharap dapat menjadi platform dalam menyampaikan pandangan dan harapan generasi muda terhadap negara dan kerajaan.

Forum bertemakan Malaysia Sehati Sejiwa itu disertai empat orang panel terdiri daripada para pelajar UniKL dan dikendalikan oleh Mohamed Fadhli Khairuddin, Pensyarah UniKL selaku moderator.

Pada forum yang dihadiri seramai 400 mahasiswa dan mahasiswi UniKL ini, Ahmad Nazir Mohd Azmi dipilih sebagai Panel Terbaik.

Selain forum Pameran Kemerdekaan, Kuiz Kenegaraan, Tayangan Video Kemerdekaan dan Sudut Selfie Kemerdekaan turut diadakan bagi menyemarakkan Sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia 2015.

— BERNAMA

 

Tinggalkan komen anda