Skip to main content
HomeViral

Sematan Meriah Sambutan Hari Malaysia

By 16 September 2015September 17th, 2015Tiada komen2 minit bacaan

 

LUNDU (Sarawak), 16 Sept — Pekan kecil Sematan dalam daerah Lundu, kira-kira 110km dari bandaraya Kuching, penuh warna warni malam ini dengan kehadiran lebih 10,000 pengunjung untuk bersama menyambut Hari Malaysia peringkat negeri Sarawak.

Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem berkata beliau sendiri memilih pekan kecil ini untuk menjadi tuan rumah sambutan, selaras dengan komitmennya untuk membangunkan kawasan luar bandar.

Menurutnya berbeza dengan negeri lain, Sarawak memperuntukan 70 peratus daripada belanjawannya khusus untuk pembangunan, selain melaksanakan pelbagai inisiatif untuk menambah pendapatan penduduk negeri, khususnya di luar bandar.

Beliau berkata banyak inisiatif yang dilaksanakan kerajaan pimpinannya yang dalam tempoh singkat berjaya memberi kemudahan dan menambah pendapatan orang ramai.

Berucap di majlis sambutan itu, Adenan berkata, beliau amat berbangga dengan keharmonian antara pelbagai etnik yang ditunjukkan penduduk negeri ini yang seharusnya menjadi contoh untuk diteladani negeri lain.

“Pada hari bersejarah ini marilah kita sama-sama berazam mencintai negara, bekerja kuat untuk negara, untuk negeri kita. Kalau kita menanam azam yang cukup kuat pastinya Sarawak dan seluruh Malaysia memiliki masa depan yang cukup cemerlang, untuk anak cucu kita di masa akan datang,” katanya.

Tapak sambutan malam ini merupakan tempat sama berlangsungnya majlis perasmian projek Lebuhraya Pan Borneo jajaran Teluk Melano-Sematan yang disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak petang semalam.

Hari ini sambutan Hari Malaysia diraikan di seluruh negara, dengan majlis utama sambutannya berlangsung di Kota Kinabalu, Sabah malam ini yang turut dihadiri Perdana Menteri.

Kemuncak sambutan di sini menyaksikan acara menaikkan bendera disusuli pertunjukan bunga api yang menghiasi ruang angkasa pekan kecil Sematan.

 

Tinggalkan komen anda