Skip to main content
EkonomiHomeViral

Terminal 1 KKIA Signifikan Kepada Sambutan Hari Malaysia

By 16 September 2015September 17th, 2015Tiada komen2 minit bacaan

 

KOTA KINABALU, 16 Sept — Perasmian Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) mempunyai hubungan signifikan kepada sambutan Hari Malaysia pada Rabu.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman berkata ini kerana terminal itu memberi sumbangan besar kepada pengukuhan integrasi nasional dan semangat perpaduan jitu antara rakyat di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

“Perasmian Terminal 1 KKIA ini juga membuktikan satu lagi kejayaan besar Sabah dalam memacu pertumbuhan dan kemajuan ekonomi khususnya menjana potensi besar dalam sektor pengangkutan udara dan industri pelancongan.

“Untuk itu, bagi pihak kerajaan negeri dan rakyat Sabah, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada kerajaan pusat atas peruntukan pembinaan dan operasi terminal lapangan terbang ini.

“Ternyata ia berupaya memenuhi keperluan dan kapasiti semasa yang dilengkapi segala kemudahan infrastruktur moden bagi menjamin keselesaan penumpang dan pengguna,” katanya pada perasmian terminal itu yang disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di sini, Rabu.

Musa berkata kerajaan negeri optimis kemudahan yang tersedia di terminal itu mampu menarik lebih banyak syarikat penerbangan dan pelancong antarabangsa, sekali gus menjadikan Kota Kinabalu sebagai hab penerbangan dan destinasi pelancongan utama.

Beliau juga berkata terminal bernilai RM1.7 bilion itu menjadi mercu tanda unik dan bakal menjadi kebanggaan rakyat Sabah kerana reka bentuk pada struktur bangunan terminal tersebut dibina berasaskan unsur unik budaya tempatan Sabah.

“Contohnya, struktur binaan bahagian atas Balai Pelepasan diinspirasikan daripada reka bentuk ‘wakid’ atau bakul yang digunakan suku kaum Kadazan Dusun yang juga membawa maksud ‘persediaan untuk perjalanan yang bermakna’.

“Ini bersesuaian dengan fungsi terminal ini sebagai penghubung bagi perjalanan yang bermakna kepada semua penumpang yang menggunakan lapangan terbang ini,” katanya sambil menambah unsur kesenian etnik kaum Rungus dan Bajau turut terdapat pada corak jubin lantai di terminal tiga tingkat itu.

Sementara itu, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata Terminal 1 KKIA akan meluaskan peluang untuk lebih banyak syarikat penerbangan menjadikan Sabah sebagai destinasi mereka.

“Kota Kinabalu merupakan destinasi pelancongan yang terkenal dan juga sebuah pusat industri dan komersial yang semakin berkembang pesat.

“Oleh itu, sebuah lapangan terbang yang canggih amat diperlukan bagi tujuan ini,” katanya.

Menurut Liow, KKIA telah mengendalikan sejumlah 6.79 juta penumpang pada tahun lepas menerusi Terminal 1 dan 2, yang mana sebanyak 3.19 juta penumpang direkodkan di Terminal 1.

Katanya selepas proses menaik taraf, Terminal 1 kini mempunyai kapasiti untuk menampung sembilan juta penumpang setiap tahun iaitu peningkatan sebanyak 350 peratus berbanding Terminal 2.

“Sebanyak 14 syarikat penerbangan beroperasi dari Terminal 1 yang dilengkapi 12 tempat parkir kapal terbang yang mampu menampung pesawat bersaiz besar dan lebar, selain 64 kaunter daftar masuk bagi penerbangan antarabangsa dan domestik,” katanya.

Tinggalkan komen anda