
Oleh Pradeeb Kumar Velayutham
KUCHING, 11 September 2015 (MalaysiaAktif) – Kapal MV Sah Lian yang dilaporkan hilang ketika dalam pelayaran dari Kuching ke Limbang, sudah ditemui kira-kira 26 batu nautika dari Tanjung Baram, Miri, petang semalam.
Komander Pasukan Polis Marin (Marin) Wilayah Lima Sarawak, Asisten Komisioner N Kalai Chelvan mengesahkan bahawa kapal yang ditemui pada pukul 4.40 petang itu mengalami kerosakan enjin dan hanyut sehingga ke perairan Miri.
“Mereka tidak memerlukan bantuan lain dan kapal berkenaan akan ditunda terus ke Limbang, dengan alasan mereka bimbang kargo yang dibawa akan rosak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata pihaknya sudah menghubungi kapten kapal berkenaan yang memberitahu bahawa semua anak kapal berada dalam keadaan selamat, dan mereka sedang menunggu bantuan pembaikan daripada syarikat berkenaan.