
Oleh Syed Fauzi Syd Mostapa
KUALA LUMPUR, 7 September (Malaysiaaktif) – Tahukah anda penyakit jantung dan strok ialah punca utama kematian di dunia?
Tahukah anda penyakit Kardiovaskular atau CVD merupakan pembunuh nombor satu di dunia?
Tahukah anda 80% daripada kematian awal akibat kedua-dua penyakit ini dapat dielakkan dengan mengawal penggunaan tembakau, alkohol, dan garam?
Menyedari hakikat tersebut, Institut Jantung Negara (IJN) melancarkan program ‘The Incredible Heart’ selama sebulan di lobi utama IJN bersempena dengan Hari Jantung Sedunia yang bakal berlangsung pada 27 September ini.
Bertemakan Persekitaran Sihat untuk Jantung, program The Incredible Heart ini merupakan inisiatif membantu orang ramai belajar memilih kehidupan sihat.
Program dirasmikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif IJN, Mohd Azhari Yakub pagi tadi di lobi IJN.
Antara aktiviti program termasuk ujian kesihatan percuma untuk orang dewasa dan kanak-kanak, selain demonstrasi masakan sihat serta klinik percuma untuk berhenti merokok.
IJN juga menyediakan ‘Wellness Centre” di tingkat enam bagi menggalakan orang ramai, khasnya mereka yang berumur 40 tahun ke atas dan wanita 45 tahun ke atas untuk menjalani ujian jantung sekurang-kurangnya sekali setahun.
Tiada surat rujukan doktor diperlukan, orang ramai hanya perlu membuat temu janji menerusi telefon atau melayari laman web www.ijn.my/incredibleheart.
Program berakhir pada 7 Oktober depan.