
Oleh: Faris Fuad
KUALA LUMPUR, 26 Okt (Malaysiaaktif) – Anggota Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) baru hari ini mengesahkan mereka bersetuju dengan cadangan supaya anggotanya mengangkat sumpah simpan rahsia.
Anggota Parlimen Kota Bharu, Datuk Takiyuddin Hassan berpendapat walaupun ia kekal rahsia tetapi ahlinya masih boleh mengeluarkan pendapat.
“Saya setuju anggota PAC angkat sumpah tapi bukan bermakna anggota jawatankuasa langsung tidak boleh bercakap,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.
Anggota Parlimen Langkawi, Datuk Nawawi Ahmad pula berkata ahli PAC tidak seharusnya mengulas sebarang pertanyaan kerana ia boleh mengelirukan rakyat.
“Jika ada kenyataan apa-apa biar pengerusi yang bertanggungjawab sahaja mengulasnya,” katanya.
Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan anggota PAC supaya mengangkat sumpah simpan rahsia bagi memastikan kerahsiaan maklumat sentiasa terpelihara.
Takiyuddin juga telah dihantar oleh PAS sebagai wakil dalam PAC susulan tindakan anggota Parlimen Tumpat, Datuk Kamaruddin Jaffar menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) bulan lalu.
Selain Takiyuddin, empat anggota Parlimen Barisan Nasional (BN) turut dilantik sebagai anggota baharu PAC iaitu Datuk Marcus Mojigoh (Putatan), Datuk Wira Ahmad Hamzah (Jasin), Datuk Nawawi Ahmad (Langkawi) dan Datuk Koh Nai Kwong (Alor Gajah).