Skip to main content
Berita TempatanHomeSabah

Cari Titik Persamaan, Satukan Perpaduan Ummah

By 31 Oktober 2015Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh Zuraidah Ahmad & Jeffrey Malaning (Sabah)

  PAPAR, 31 Okt (Malaysiaktif) – Mencari titik persamaan dan menghindarkan jurang perbezaan yang boleh memecahbelahkan merupakan pendekatan terbaik menyatupadukan ummah.

Selain itu, semangat perpaduan dan ukhuwah juga perlu diletakkan di tingkat paling atas dalam mengharungi kehidupan seharian.

Timbalan Menteri Kerja Raya Malaysia, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata cabaran utama umat Islam hari ini ialah perkara-perkara asas yang berkaitan dengan perpaduan dalam kalangan ummah.

“Hilangnya sifat ketaqwaan dan keimanan, umat Islam mula berpecah akibat perasaan khianat mengkhianati, iri hati, tamak haloba dan fitnah hanya disebabkan perbezaan ideologi politik.

“Kesempatan itu pula dimanipulasi pihak tertentu yang melancarkan perang saraf dan provokasi, melaga-lagakan ummah melalui media sosial, fahaman songsang, propaganda Islam agama pengganas sehingga wujudnya ‘Islam Fobia’ dalam kalangan masyarakat bukan Islam.

“Mereka mencipta kumpulan penganas yang kononnya berjuang demi agama sehingga berjaya mempengaruhi belia-belia Islam negara ini dan negara luar untuk menyertai perjuangan palsu itu.

“Namun mereka sebenarnya hanyalah agen-agen perosak agama Islam yang ingin melihat kemusnahan Islam.

“Senario ini menjadi cabaran kepada ummah yang perlu bangkit dan membuktikan Islam adalah agama suci yang mencintai keamanan, memelihara perpaduan,” ujarnya.

Rosnah yang juga Ahli Parlimen Papar berucap demikian ketika merasmikan Majlis Sambutan Ma’al Hijrah 1437H/2015M, di Dewan Datuk Salleh Sulong, petang tadi.

Sambil mengajak umat Islam mengambil iktibar daripada Hijrah Nabi Muhammad S.A.W, beliau menyeru masyarakat agar terus menjaga perpaduan dengan kasih sayang serta hormat menghormati antara satu dengan lain.

Tambahnya, hijrah pemikiran perlu diterapkan dalam kehidupan seharian ummah demi meningkatkan momentum syiar Islam.

Tindakan tersebut memerlukan penglibatan semua pihak untuk memancarkan imej Islam agar terus dipandang tinggi dan dihormati.

Pada majlis itu, beliau menyampaikan Anugerah Tokoh Ma’al Hijrah kepada Allahyarham Haji Alamin Kanan yang diwakili isterinya, Hajah Juliah Saman dari Kg Melagui Kelatuan.

Turut disampaikan Anugerah Ar Raudah kepada Masjid Nurul Hidayah Bongawan; Anugerah Masjid Kariah Cemerlang, Masjid Jamek Sungai Padang; Anugerah Surau Cemerlang, Surau An Nur Taman Limauan Kinarut; Anugerah Khalid Al Walid, Mohd Safwan Ag Matusin dan Anugerah NGO diberikan kepada Hidayah Center Cawangan Papar.

Tinggalkan komen anda