Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraHomeKedahPulau PinangRencana & PendapatViral

Melayu Tidak Lupa Pulau Pinang Dirampas Daripada Kedah

By 21 Oktober 2015Tiada komen2 minit bacaan

 

ALOR SETAR, 21 Okt  — Selepas lebih 200 tahun, orang Melayu di Pulau Pinang dan Kedah masih ingat dan sedar akan dakwaan berlakunya tipu daya dalam cara pulau itu dan Seberang Perai ‘bertukar tangan’.

Ahli Sejarah Universiti Teknologi Petronas Prof Datuk Dr Ahmad Murad Merican mendakwa terdapat kisah yang menunjukkan wujud banyak kesangsian berhubung ‘perjanjian” dibuat antara Francis Light dan Sultan Kedah ketika itu, Sultan Abdullah.

“Kebanyakan orang Melayu di Pulau Pinang dan di Kedah tidak dapat melupakan apa yang mereka sifatkan sebagai ‘rampasan’ oleh Pulau Pinang dan tipu daya (berhubung perjanjian) dibuat oleh (Francis) Light. Wujud banyak kesangsian dan kejanggalan.

“Sultan Kedah merupakan raja berdaulat. Adakah Francis Light sama taraf?” soal sejarawan itu yang juga Timbalan Presiden Persatuan Sejarah dan Warisan Melayu Pulau Pinang (Pewarisan) dalam temu bual dengan Bernama baru-baru ini.

Murad diminta mengulas kenyataan Pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah (PSMCK) Datuk Dr Wan Shamsuddin Mohd Yusof berhubung perjanjian pajakan Pulau Pinang dan Seberang Perai pada 1791 dan 1800.

Kedua-dua perjanjian itu, katanya patut disemak semula dan Pulau Pinang dan Seberang Perai (dahulunya dikenali Province Wellesley) patut dipulangkan semula kepada Sultan Kedah.

Cadangan Wan Shamsuddin itu, yang Murad gesa agar semua pihak mempertimbangkannya, bukan hanya berdasarkan pada sentimen semata-mata tetapi juga beberapa dokumen dan bukti.

“Pulau itu dan Seberang Perai milik Kesultanan dan Sultan Kedah, dari segi sejarah, sosial dan ekonomi. Undang-undang Negeri Kedah terpakai ke atas pulau itu sebelum ia “dirampas’ oleh Undang-Undang Common pada 1807,” katanya.

Lagipun, katanya British tidak pernah memenuhi satu daripada syarat ditetapkan dalam perjanjian tersebut iaitu melindungi Kedah daripada serangan Siam (kini Thailand), fakta yang turut ditekankan oleh cendekiawan PSMCK Dr Ibrahim Bakar.

Ibrahim dalam temu bual dengan Bernama sebelum ini berkata perjanjian bagi Pulau Pinang dan Seberang Perai dianggap batal dan tidak sah susulan kegagalan British dalam melindungi Kedah seperti termaktub dalam perjanjian itu.

Murad juga berkata perjanjian-perjanjian itu dimansuhkan pada 1957 apabila negara mencapai kemerdekaan daripada British dan Pulau Pinang serta Seberang Perai sepatutnya dipulangkan kepada Kedah secara automatik.

Malah, menurutnya pada 1955, Sultan Kedah ketika itu, Sultan Badlishah dalam sepucuk surat kepada British telah meminta supaya dipulangkan Seberang Perai, yang baginda sifatkan sebagai sebahagian Kedah.

“Suara-suara Sultan Kedah selepas itu, oleh kerana Light pernah menemui Sultan Abdullah Mukaram Shah dan Sultan Zainal Azilin Jiwa Muazzam Shah, telah menekankan tentang memori dan kesedaran Kesultanan (tentang perkara itu),” katanya.

Menurutnya, tuntutan Kedah ke atas Pulau Pinang atau mana-mana tuntutan terhadap kawasan sama ada dalam negeri-negeri atau antara negeri-negeri bukan sesuatu yang luar biasa atau mustahil dari segi perlembagaan dan politik.

“Sebagai contoh. Satu daripadanya ialah Hong Kong kembali kepada China. Kita pernah menyaksikan Dinding dan Pangkor dipulangkan semula kepada Perak. Dan di dunia, perubahan terhadap sempadan-sempadan di dalam dan antara negara-negara berlaku,” katanya.

— BERNAMA

 

Tinggalkan komen anda