
Oleh Sarah Nur Saad (Kulim)
KULIM, 29 Okt (MalaysiaAktif) — Pesara tentera, Zamri Hamid, 45, dan isteri melahirkan rasa bersyukur kerana telah terpilih oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Kedah dalam Projek Pembinaan Semula Rumah Terbakar.
Projek ini adalah di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan 7 (NBOS).
Menurut Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Datuk Haji Amer Haji Yusof, ini adalah salah satu sumbangan untuk masyarakat di samping tugas hakiki yang dilakukan oleh jabatan.
Tambah beliau lagi, secara puratanya setiap negeri akan diperuntukkan lebih kurang dua projek untuk bina semula rumah.
Selain itu, terkini pihak jabatan turut menyatakan, pada tahun hadapan akan memulakan projek membaikpulih rumah masyarakat khususnya mangsa kebakaran dan miskin.
Beliau turut menyempurnakan majlis dengan upacara penyerahan kunci rumah kepada pemilik rumah tersebut.
Ketika ditemuramah, Zamri menyatakan rumahnya telah terbakar pada 22 Januari lalu yang menyebabkan keluarga mereka hidup sehelai sepinggang.
Beliau yang merupakan penerima bantuan Orang Kurang Upaya (OKU) turut mendapat sumbangan daripada Pejabat Daerah Kulim, Pejabat Tanah Daerah Kulim, Pejabat Zakat dan Pejabat Kebajikan Masyarakat.
Bagi yang ingin menyalurkan sumbangan kepada beliau, boleh menghubungi 019-4668219 (Zamri).