
Oleh Pradeeb Kumar Velayutham (Putrajaya)
KUALA LUMPUR, 27 Nov (MalaysiaAktif) – – Seramai 10 orang merompak sebuah kedai 7 Eleven di Jalan Dang Wangi di sini awal pagi tadi.
Kesemua lelaki yang dipercayai berbangsa Melayu berumur antara 20 hingga 30 tahun itu melakukan rompakan tersebut menggunakan senjata api.
Menurut polis, tiga daripada 10 orang itu memasuki premis dan mengambil barang-barang seperti rokok, minuman keras dan makanan ringan. Pada ketika itu telah berlaku pertengkaran di antara salah seorang daripada suspek dan pekerja premis tersebut.
Semasa pertengkaran tersebut, seorang daripada suspek telah melepaskan satu das tembakan ke arah rak simpanan rokok, kemudiannya mengambil beberapa barang dan melarikan diri. Kerugian masih belum ditafsirkan oleh pihak 7 Eleven.
Anggota Polis yang hadir di tempat kejadian menjumpai sebutir peluru terlekat pada rak rokok tersebut dan mengesan lima cap jari pada kotak rokok.
Polis juga mengenal pasti suspek melalui rakaman CCTV yang terdapat di premis tersebut. Tiada sebarang kecederaan semasa kejadian dilaporkan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 3 Akta Senjatapi Penalti Lebih Berat 1971 yang membawa hukuman mati mandatori.