Skip to main content
HomeViral

Ruang Bersuara Sentiasa Ada, Boleh Tarik Balik Jika Salah Guna

By 27 November 2015Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh Faris Fuad ( Putrajaya)

KUALA LUMPUR, 27 Nov (Malaysiaaktif) — Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak menegaskan setiap anggota Umno mempunyai ruang untuk menyuarakan pendapat namun mempunyai had dalam membuat satu kenyataan.

Beliau berkata Umno sentiasa mengalu-alukan pendangan anggota parti namun perlu disekat jika didapati niat adalah untuk menghancurkan kredibiliti parti.

“Tidak dinafikan, ada yang berpendapat Umno mengamalkan kebebasan bersuara ketika berucap dan kerana itu, pemimpin dan ahli perlu dibenarkan meluahkan apa yang mereka rasa.

“Bagaimanapun, ada beza antara kebebasan bersuara ketika berucap dengan kebebasan untuk memusnahkan dan ada bahagian berasa bahawa sempadan itu perlu disekat,” katanya menerusi blog rasminya hari ini.

Salleh turut memaklumkan tradisi parti tersebut telah pun dipecahkan ekoran sikap hipokrit yang ditunjukkan segelintir anggotanya.

“Cuba menjatuhkan presiden parti menerusi tuduhan dongeng memberi kesan kepada keseluruhan parti dan memberi risiko kepada Umno untuk dikalahkan dalam pilihan raya umum dan sudah tentu ini tidak selaras dengan tradisi parti.

“Jika kita berharap untuk bercakap mengenai mengekalkan tradisi parti dan tidak memecahkannya, maka, kita harus melihatnya secara menyeluruh dan bukan mengambil hanya cebisan yang berpadanan dengan kita.”

Dalam pada itu, beliau menyifatkan platform ucapan Timbalan Presiden Parti, Datuk Seri Muhyiddin Yasssin dalam Perhimpunan Agung Umno akan datang sebagai satu keistimewaan dimana ia boleh ditarik pada bila-bila masa jika disalahgunakan.

” Peluang berucap hanyalah keistimewaan yang diberikan kepada Timbalan Presiden parti itu bukan hak rasmi.

“Tradisi Timbalan Presiden mengumumkan pembukaan mesyuarat sayap, itu saja, hanya satu tradisi.

“Ia hanya keistimewaan yang diberikan kepada Timbalan, Ia bukan hak. Dan ketika hak tidak boleh diambil daripada seseorang, keistimewaan perlu diperolehi. Dan keistimewaan akan hilang jika disalahgunakan,” katanya lagi.

Sebelum ini, beliau membidas kenyataan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Shafie Apdal yang mengatakan keputusan parti itu untuk tidak membenarkan Naib Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada berucap pada Perhimpunan Agung Umno 2015 yang akan datang sebagai cubaan untuk  memecahkan tradisi.

 

Tinggalkan komen anda