
Oleh Muhammada Azrul Hafiz Mohamad Nazri (Langkawi)
LANGKAWI, 25 Nov (Malaysiaaktif) — Keindahan pantai merupakan daya penarik bagi pelancong yang datang ke Langkawi. Namun begitu, akhir-akhir ini, kemunculan hotel-hotel mewah di Langkawi menjadikan pantai awam di pulau ini semakin berkurangan.
Keadaan ini menimbulkan masalah kepada pengunjung tempatan, golongan berpendapatan sederhana dan juga penduduk tempatan.
Kemunculan hotel-hotel mewah merupakan sesuatu yang baik bagi pembangunan Pulau Langkawi sebagai pulau pelancongan. Namun begitu, keperluan penduduk tempatan dan pelancong berpendapatan sederhana yang tidak mampu menyewa hotel mewah di pulau ini, perlu diambil kira.
Aktiviti pelancongan merupakan antara sumber pendapatan penduduk di Langkawi, maka itu pembangunan di pantai harus seimbang agar pantai awam yang boleh digunakan semua pihak tidak pupus. Perkara ini selaras dengan status Pulau Langkawi sebagai Global Geopark.
Menurut seorang pelancong, Mohd Zahier Hassan, pihak berkuasa tempatan di Langkawi perlu memelihara pantai awam agar kemasyhuran Pulau Langkawi sebagai sebuah pulau pelancongan dapat dikekalkan sebagai antara tarikan utama di samping status pulau bebas cukai.
Dalam konteks ini, penyelanggaraan secara sambil lewa di kawasan pantai menimbulkan masalah bagi pengunjung memandangkan di kebanyakan kawasan tiada kemudahan, seperti tandas awam dan bilik persalinan
Bagi seorang lagi pelancong tempatan, Roslan Bashah, pihak berkuasa tempatan seharusnya menyelenggara dengan baik pantai awam. Menurut beliau, walaupun terdapat pantai awam yang dilengkapi infrastruktur tersebut, namun ia tidak diselenggarakan dengan baik hingga tidak sanggup digunakan oleh pengunjung.
Kemudahan untuk pelawat seperkara, tetapi secara keseluruhan kelemahan dalam budaya penyelenggaran oleh pihak berwajib di kawasan berkenaan turut diterjemahkan kepada persepsi negatif dalam kalangan pelancongan luar. Mereka mudah merujuk kepada diktomi dan dwi-standard dalam memberi layanan kepada pelancongan luar dan tempatan.
Untuk rekod Kanun Tanah Negara membenarkan kerajaan negeri mengambil alih mana-mana kawasan tanah dalam sempadan masing-masing. Ini seterusnya membenarkan kawasan-kawasan pantai yang indah dan elok diberikan kepada pengusaha resort dan hotel mewah, justeru meninggalkan hanya pantai-pantai yang kurang berkualiti kepada penduduk dan pelancong tempatan.
Keadaan ini menyemarakkan kemarahan apabila pelancong tempatan dan pelancong luar bersaing untuk mendapatkan ruang eksklusif.