
Oleh Faris Fuad (Putrajaya)
KUALA LUMPUR, 20 Nov (Malaysiaaktif) – Parti Amanah Negara (Amanah) mengesahkan parti itu sentiasa membuka pintu kepada bekas Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa, jika beliau mengambil keputusan untuk mencari platform perjuangan yang baharu.
Setiausaha Agungnya, Mohd Anuar Tahir menganggap Husam sebagai rakan seperjuangan yang mengalami nasib yang sama.
“Beliau adalah kawan rapat dan kami berkongsi pemikiran sama dan kami diketepikan serta menjadi mangsa fitnah, ketika kami berada (dalam PAS),” kata bekas Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat itu dalam sidang media di Ibu Pejabat Amanah yang baharu di Seri Utama hari ini.
Beliau menjelaskan rekod dan semangat juang individu tersebut telah menarik minat pihaknya kerana beliau berani menegakkan keadilan walaupun terpaksa mengkritik pimpinan parti.
“Beliau mungkin ahli biasa, tetapi di mata kami, beliau seorang individu yang benar-benar akan ‘berjuang untuk apa yang kita yakini’, kerana beliau boleh tunjuk dan kritik kami dalam pucuk pimpinan parti,” katanya lagi.
Namun begitu, Amanah tidak boleh mengosongkan satu jawatan untuk Husam, kerana ia tertakluk kepada undang-undang Pendaftar Pertubuhan.
Sebelum ini, PAS dilaporkan mengeluarkan surat menjemput Husam hadir ke Jawatankuasa Harian PAS Pusat pada Selasa depan, untuk memberi penjelasan berhubung dakwaan Presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang kononnya menjalinkan kerjasama erat bersama Umno di Selangor.
Husam juga telah memaklumkan beliau bersedia untuk hadir bagi menjelaskan dakwaan dan kritikan tersebut
Namun, beliau berkata pihaknya belum menerima sebarang notis yang memintanya hadir pada Selasa depan.