Skip to main content
Berita SarawakBerita TempatanHomeViral

Gua Baharu Ditemui Berhampiran Taman Negara Gunung Mulu

By 7 November 2015Tiada komen2 minit bacaan

 

KUCHING, 7 Okt — Sekumpulan penjelajah gua telah menemukan sebuah gua baharu yang indah berhampiran Taman Negara Gunung Mulu yang terkenal di bahagian Miri, Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem mengumumkan pada Jumaat malam.

Menurut Adenan, gua itu berusia lebih enam juta tahun dan ditemukan baru-baru ini tetapi tidak menyebut pasukan yang menemukannya.

“Penemuan gua tersebut baik untuk Sarawak dan industri pelancongan negeri ini,” kata Adenan dalam ucapannya pada majlis jamuan malam sempena ulang tahun ke-12 Perhutanan Sarawak di sini.

Gua lain yang terletak dekat Gua Mulu itu ialah Gua Rusa dan Gua Air Jernih.

Mengenai usaha memerangi pembalakan haram, Adenan berkata ia telah mencapai beberapa tahap kejayaan.

Katanya banyak balak haram telah dirampas dan 13 kilang papan telah ditutup dengan lima lagi kilang papan lapis atau kilang venir dikategorikan sebagai tidak aktif kerana kekurangan kayu balak haram untuk dibekalkan kepada kilang-kilang tersebut.

“Bagaimanapun, tidak banyak pembalak haram telah ditangkap dan dipenjarakan dan saya berharap untuk melihat situasi bertambah baik mengenai aspek ini,” kata beliau.

Beliau sekali lagi mengingatkan semua pihak yang bertugas dalam penguatkuasaan bahawa mereka tidak harus leka dalam usaha memerangi pembalakan haram di negeri ini.

Adenan berkata enam syarikat besar pun sedang dipantau dengan rapi dan menambah beliau tidak teragak-agak untuk membatalkan lesen jika mereka didapati melanggar syarat lesen.

Ketua Menteri juga berkata semua Taman Negara di Sarawak dibuka kepada orang ramai termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang minat untuk menjalankan penyelidikan di sana.

“Kita tidak mempunyai kepakaran tetapi kita mempunyai taman-taman negara, jadi adalah bodoh jika kita tidak membuka Taman Negara kita kepada orang ramai dan NGO yang benar-benar berminat untuk bekerjasama dengan kita,” katanya.

 

– BERNAMA

 

Tinggalkan komen anda