
Oleh Tengku Saifulah & Zamri Abd Razak (Marang)
MARANG, 14 Nov (Malaysiaaktif) — Seramai 2,950 orang pelajar Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) dari seluruh Kawasan Parlimen Marang menyertai Majlis Khatam Al-Quran Peringkat Parlimen Marang di Dewan Masjid Sultanah Nur Zahirah di sini pagi tadi.
Menurut Pegawai Daerah Marang, Haji Zulkifli Abu Bakar, program seumpama ini perlu diberi sokongan kerana ia dapat memperkasakan pengajian Al-Quran dan meningkatkan kemahiran pembacaan kitab suci itu di peringkat sekolah rendah lagi. Beliau mewakili Ahli Parlimen Marang Latiff Awang merasmikan majlis tersebut.
Beliau berkata, kehadiran begitu ramai ibu bapa yang bersama-sama memberi sokongan kepada anak-anak mereka membuktikan kesedaran terhadap kepentingan menguasai dan membaca al-Quran dengan cara yang betul.