Skip to main content
Berita TempatanHomeSabah

Henti Sebaran Fitnah, Hargai Keamanan – Mohd Salleh

By 16 November 2015Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh Eviannie Kian Mei Hoon, Vicky Sylvester Matanjang (Sabah)

KOTA KINABALU, 16 Nov 2015 (Malaysiaktif) – Pergolakan yang berlaku di Paris seharusnya menjadi pengajaran kepada semua rakyat agar tidak mensensasikan perkara yang tidak benar kerana kita wajar menghargai keamanan dan demokrasi di negara ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Mohd. Salleh Tun Said Keruak berkata sehubungan itu, perlakuan masyarakat hari ini menyalahgunakan media sosial dengan memanipulasikan dan mem’viral’kan imej dalam media sosial seolah-olah perkara itu benar boleh mencetuskan perbalahan.

Beliau berucap demikian ketika merasmikan Majlis Anugerah Bulan Kebangsaan Peringkat Negeri Sabah 2015 di sini, Sabtu lepas.

Dalam usaha menghindarkan segala kepincangan itu, Mohd Salleh berkata pelbagai medium digunakan bagi membentuk generasi yang kalis ancaman dalaman dan luaran melalui patriotisme.

“Langkah Jabatan Penerangan Malaysia mengadakan pertandingan seperti fotografi, selfie dan video pendek amat bertepatan sekali untuk memenuhi patriotisme golongan muda.

“Lebih mudah bagi menanam dan menyemai jiwa merdeka melalui minat dan kecenderungan setiap golongan termasuk kepada anak-anak muda.

“Ini kerana masa depan negara bergantung kepada apa yang kita bentuk di jiwa anak muda hari ini,” jelas beliau.

Dalam majlis tersebut, Mohd Salleh menyampaikan hadiah kepada para pemenang yang telah mewakili Sabah ke peringkat kebangsaan pada 4 November lalu.

Pertandingan keceriaan merdeka itu bertemakan bulan kebangsaan mengikut kategori dan pertandingan Selfie Merdeka, Selfie Hari Malaysia, Foto Merdeka serta Video Pendek sempena Hari Malaysia.

Antara kategori yang dipertandingkan, termasuk kategori individu, pintu gerbang, bangunan swasta, taman perumahan, sekolah, bangunan kerajaan, kampung dan anjung Komuniti 1Malaysia (K1M).

Acara tersebut merupakan aktiviti tahunan jabatan berkenaan setiap kali sambutan Bulan Kebangsaan.

 

Tinggalkan komen anda