Skip to main content
Berita TempatanJohor

Pentauliahan ARP Rakan Muda Tahap Gangsa Peringkat Muar

By 26 November 2015Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh Khairul Annuar Zulkernain (Muar)

 MUAR, 25 Nov (Malaysiaaktif) — Pejabat Belia dan Sukan Daerah Muar/Ledang pada Selasa  mengadakan Majlis Pentauliahan Anugerah Remaja Perdana (ARP) Rakan Muda Tahap Gangsa Peringkat Daerah Muar.

Majlis yang berlangsung pada pukul 3.00 petang di Dewan Komuniti Bangunan UMNO Bahagian Bakri itu dirasmikan oleh Setiausaha UMNO Bahagian Bakri, selaku wakil rasmi Pemangku Ketua UMNO Bahagian Bakri, Haji Osman Taib.

Seramai 150 orang terdiri daripada pelajar sekolah dan institut pengajian tinggi menghadiri majlis yang bertujuan memberi tauliah kepada mereka yang berjaya memenuhi keperluan untuk ditauliahkan dengan tahap gangsa.

belia2

Kesemua peserta yang ditemui rata-rata menyatakan kegembiraan mereka kerana telah berjaya mendapat pentauliahan peringkat gangsa dan ingin terus maju ke tahap yang lebih tinggi, iaitu tahap perak dan emas.

Pentauliahan ARP yang terbahagi kepada tiga peringkat, iaitu Gangsa, Perak dan Emas, mempunyai empat komponen wajib, iaitu Khidmat Masyarakat, Rekreasi Fizikal, Kemahiran dan Pengembaraan.

Kesemua komponen  mempunyai tempoh yang ditetapkan untuk mendapatkan pentauliahan. Peserta anugerah di peringkat Emas perlu melengkapkan satu kategori tambahan, iaitu Projek Penempatan selama 5 hari 4 malam di suatu penempatan yang dipilih, serta ditemani oleh individu yang bukan kenalan.

Anugerah Remaja Perdana diperkenalkan pada 2001. Ia  mengambil sempena Program Duke of Edinburgh’s Award yang diperkenalkan di United Kingdom pada 1956.

Program ini adalah wadah yang memberi sokongan dan semangat kepada remaja di dalam menanam nilai-nilai seperti semangat, bekerjasama dan sebagainya ke arah mencapai personaliti unggul. Ia merupakan satu-satunya program yang mengiktiraf penglibatan golongan muda berusia 14-25 tahun.

 

Tinggalkan komen anda