Skip to main content
HomeViral

Jakim Terima Kritikan, Tolak Pendapat Ekstrem – Asyraf Wajdi

By 11 November 2015Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh Faris Fuad (Putrajaya)

BANGI, 11 Nov (Malaysiaaktif) — Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sentiasa bersifat terbuka dalam menerima kritikan membina, namun bukan pendapat yang bersifat ekstrem.

Beliau berpendapat jabatan tersebut telah memberi banyak impak positif kepada perkembangan umat Islam, tetapi perlu bersedia menerima kritikan bagi meningkatkan perkhidmatannya kepada rakyat.

“Kita tak pernah bersifat defensif apabila dikritik, tetapi bagi saya pandangan supaya memansuhkan Jakim agak ekstrem dan kalau benar apa yang dilaporkan, seolah-olah nak kembalikan Malaysia ke zaman Jahiliyyah dahulu,” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan Persidangan Komuniti ASEAN bertemakan Ketamadunan Islam dalam Komuniti ASEAN: Cabaran dan Harapan di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Bangi.

Asyraf Wajdi menjelaskan isu tersebut tidak harus diperbesarkan kerana ia merupakan pendapat segelintir individu yang tidak mempunyai gambaran jelas terhadap sejarah perkembangan masyarakat islam

“Saya rasa dalam suasana hari ini masyarakat Islam sudah mempunyai kesedaran yang tinggi terhadap agama. Kita tidak boleh kembali kepada zaman di mana kita boleh sewenang-wenangnya berfoya-foya dengan perkara yang jelas diharamkan dalam Islam,” katanya lagi.

Semalam, melalui Facebooknya, beliau memaklumkan JAKIM merupakan badan bertanggungjawab menyelia urusetia Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam (MKI) yang telah diperkenan sendiri oleh Majlis Raja-Raja Melayu yang turut berperanan  memelihara kesucian Islam di negara ini.

“Inilah yang terpateri kukuh dalam Perkara tiga Perlembagaan Negara yang menyebutkan Islam adalah Agama Persekutuan. JAKIM yang bertanggungjawab sebagai institusi yang menyelaras hal ehwal agama bagi memenuhi tuntutan perlembagaan yg meletakkan Islam sebagai agama Negara.”

Sebelum ini, anak sulung bekas Timbalan Perdana Menteri Tun Dr Ismail Abdul Rahman, Tawfiq Tun Ismail menyifatkan kewujudan badan Jakim tanpa tujuan selain hanya campur tangan dalam kehidupan peribadi rakyat Malaysia.

 

Tinggalkan komen anda