
Oleh Pradeeb Kumar Velayutham (Putrajaya)
PERLIS, 18 Nov (Malaysiaaktif) — Perlis sekarang hanya enam jam perjalanan dengan perkhidmatan ETS Keretapi Tanah Melayu Berhad.
Dilancarkan pada 11 Julai lepas, tren ETS yang mempunyai kapasiti seramai 312 orang penumpang bagi setiap perjalanan merupakan pilihan baik bagi mereka yang tidak ingin bersesak di lebuhraya, terutama semasa musim perayaan. Tempoh perjalanan singkat, koc selesa serta perjalanan yang lebih selamat menjadikannya semakin popular.
Tren ETS dikuasakan elektrik dan mempunyai jejak karbon yang jauh lebih rendah berbanding kenderaan yang menggunakan bahan api fosil. Ternyata cara ini lebih mesra alam dari segi pengoperasian keretaapi dalam negara kita.
Disamping itu, ram dan ruang duduk khas untuk warga OKU dan warga emas membantu golongan ini sepanjang perjalanan ke destinasi. Selain itu, penyediaan tandas vakum moden mesra OKU yang direka khas oleh pihak KTMB, menunjukkan keperihatian mereka dalam menangani keperluan pelanggan.
Selain itu, setiap koc ETS KTMB menyediakan rak bagasi di ruang atas tempat duduk untuk penyimpanan barang dengan lebih selamat dan mudah diambil. Juga disediakan dua buah TV LED dalam setiap koc ntuk hiburan dan maklumat penumpang.
Kaunter F&B yang menjual makanan dan minuman memudahkan penumpang tanpa perlu turun di antara destinasi untuk membeli makanan atau pun membawa bekalan sendiri.
Pengurus Kanan Pelanggan dan KTM Intercity, Mohd Noordin Kimi berkata ETS KTMB mempunyai kelajuan sehingga 140km/sejam, sesuai dengan peraturan pengakutan awam negara.
Untuk maklumat lanjut mengenai ETS KTMB orang ramai boleh layari laman web http://www.ktmb.com.my/ .