
KUALA LUMPUR, 19 Nov(Malaysiaaktif) — Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) tidak akan lagi mengadakan sidang akhbar oleh pengerusinya yang baharu dilantik berikutan kenyataan “cari makan” semalam.
Pengerusinya Datuk Hasan Ariffin berkata dia berasa kecewa kerana usaha untuk mewujudkan suasana baik di antara jawatankuasa tersebut dan pihak media tidak dihargai oleh sesetengah pihak.
Semalam, Hasan mempengerusikan mesyuarat PACnya yang pertama membabitkan topik-topik berhubung kelewatan projek lebuhraya pantai timur II dan kelemahan dalam pojek akuakultur di bawah Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara.
Walau bagaimanapun, dalam satu sidang akhbar kemudian bila ditanya tentang 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Hasan dilaporkan berkata”saya pun cari makan” apabila ditanya sama ada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan dipanggil PAC berhubung isu syarikat strategik itu.
“Tidak perlu panggil Perdana Menteri,”beliau berkata “Janganlah, saya pun nak cari makan.”
Dalam satu kenyataan hari ini, Hasan berkata walaupun beliau meminta wartawan supaya tidak menyiarkan kenyataan itu, yang dimaksudkan sebagai gurauan sebelum menjemput mereka makan tengahari bersama, masih terdapat sesetengah pihak yang terus melaporkannya.
“Oleh yang demikian, bermula 23 Nov, PAC tidak lagi akan mengadakan sidang akhbar,” katanya. Beliau menambah bahawa apa jua maklumat akan disalurkan melalui kenyataan rasmi.
Ketua Pengarah Eksekutif 1MDB Arul Kanda akan diminta memberi keterangan kepada PAC pada 1 Disember ini. Datuk Shahrol Helmi yang mendahului Arul memegang jawatan itu akan berbuat demikian pada 25 November ini.