Skip to main content
HomeViral

UMNO Siasat Cawangan Yang Desak Najib Letak Jawatan

By 18 November 2015Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh Faris Fuad (Parlimen)

KUALA LUMPUR, 18 Nov (Malaysiaaktif) – UMNO  mengesahkan mereka akan meneruskan siasatan terhadap individu di sebalik cawangan parti yang mendesak peletakan jawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebagai Presiden UMNO.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata pihaknya masih menyiasat apa yang berlaku di beberapa cawangan, terutama kawasan Teluk Kemang.

“Ada kekeliruan. Mereka kata ada 30 cawangan tapi saya tengok nama 15 cawangan. Saya tak tahu mainan siapa, tetapi apa yang berlaku di Teluk Kemang.

“Kita akan siasat dan lihat sama ada masalah yang dibuat oleh dalang-dalang yang ingin melemahkan parti yang sedang utuh dan kuat.

“Kita tiada masalah. Kita ada lebih kurang 25,000 cawangan. 30 cawangan ini pun tidak tahu siapa cawangan. Saya sebagai Setiausaha Agung Umno akan siasatlah,” katanya ketika ditemui media di lobi Parlimen hari ini.

Tengku Adnan memaklumkan UMNO akan menyiasat sehingga ke akar umbi bagi memastikan masalah seperti ini tidak berlaku lagi.

“Kita sudah tulis surat. Mereka juga sama, beri jumlah sebegini, tapi bila kita siasat, yang kata tak tahu pun ada, yang sengaja hadir pun ada, yang tidak tahu apa nak mesyuarat pun ada yang dipanggil, itu yang jadi masalah.

“Kita akan siasat, kita sudah tulis surat ke bahagian. Bahagian sudah maklumkan kepada ibu pejabat bahawa dari jumlah yang disebut bukan semua,” katanya.

Beliau menggesa anggota cawangan lain untuk meneliti kembali peraturan asas UMNO sebelum membuat sesuatu keputusan.

“Ada peraturan jika nak buat, ada mesyuarat khas jawatankuasa cawangan, baru boleh buat cawangan khas untuk putuskan apa-apa.

“Bukan individu tertentu yang barangkali kecewa dengan apa yang mereka tak dapat, itu yang jadi masalah. Kita akan pantau,” katanya lagi.

Sebelum ini Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi enggan menjelaskan siapa tujuh individu yang kini disiasat oleh parti itu dan menyerahkan perkara itu kepada Tengku Adnan untuk menyelesaikannya.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri, berkata isu itu diserahkan kepada Sekretariat di Ibu Pejabat Umno dalam mengumpulkan semua maklumat dan bahan untuk dikemukakan kepada Jawatankuasa Disiplin.

 

Tinggalkan komen anda