Skip to main content
Berita TempatanKedah

Kg Kuala Dulang Kechil Menjana Pelbagai Sumber Ekonomi

By 11 November 2015Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh Muhamad Nawawi Kasa (Pendang)

PENDANG,11 Nov (Malaysiaaktif ) — Kampung Kuala Dulang Kechil di Daerah Yan merupakan sebuah perkampungan yang unik dengan pelbagai sumber pendapatan ekonomi. Walaupun pada asasnya bersumberkan pertanian dan hasil laut, namun sekarang terdapat produk-produk lain yang diusahakan oleh penduduk.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Kampung Kuala Dulang Kecil, Ismail Zain,usaha untuk memajukan sumber pendapatan masyarakat kampung ini diwujudkan sebagai menyahut seruan kerajaan supaya melakukan transformasi ke arah pemantapan isi rumah melalui sumber ekonomi.

20151110204440 (3)

Katanya lagi, keadaan kampung sekarang sudah banyak berubah hingga pernah menjadi Johan Anugerah Desa Sejahtera 1Malaysia Peringkat Daerah Yan pada Oktober lepas.

Kampung ini menjadi tumpuan pada hujung minggu dan cuti persekolahan, terutama daripada kalangan kaki pancing yang menyewa bot dengan kadar bayaran di antara RM500 hingga RM 600.

Para pemancing juga secara tidak langsung menjana pendapatan apabila hasil diperoleh dijual kepada peraih yang sentiasa menunggu kepulangan mereka.

Selain itu, di sini juga terkenal dengan Mee Udang Special yang diusahakan oleh Che Siah Osman atau lebih dikenali dengan panggilan Mak Jang Teh.

20151110204438

Kampung Kuala Dulang Kecil mempunyai perusahaan membuat santan dan kerisik yang diusahakan oleh seorang anak muda, Mohd Hafiz, 23, bagi membekalkan permintaan purata 200 kilogram setiap hari.

Di penjuru lain pula, Azizan Ismail, 43, merupakan seorang pengusaha bot dan pertukangan kayu. Beliau juga menghasilkan berbagai jenis keris,golok dan sangkar burung, selain umpan tiruan untuk kegunaan penggemar memancing.

Dengan kepelbagaian tarikan dan aktiviti, kampung ini kini destinasi persinggahan yang menarik sebagai model kampung Melayu di negeri Kedah. Bagi menampung pelawat, di sini juga tersedia beberapa inap desa.

 

Tinggalkan komen anda