Skip to main content
Berita TempatanJohorViral

Konsep KKL Masuk Kampung Manfaatkan Masyarakat

By 20 November 2015Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

 

Oleh  Zuriatina Tamat (Ledang)

LEDANG, 20 Nov (Malaysiaaktif) — Konsep masuk kampung yang dibawa oleh Kolej Komuniti Ledang (KKL) bagi mendekatkan lagi masyarakat kepada kursus-kursus pendek di bawah kelolaan mereka mendapat sambutan menggalakkan.

Ketua Jabatan Pembelajaran Sepanjang Hayat Kolej Komuniti Ledang, Razzatul Iza Zurita Rasalli berkata, antara objektif pelaksanaan program ini adalah untuk melaksanakan khidmat masyarakat dan membudayakan pembelajaran setempat.

Menurut Iza, terdapat empat bidang kursus utama yang ditawarkan di KKL, iaitu pembuatan pastri, automotif, servis penyaman udara dan keusahawanan. Selain itu, orang ramai juga boleh memohon kursus-kursus pendek lain, seperti kursus bahasa, kursus pengurusan jenazah, kursus taranum, kursus pembinaan laman web dan sebagainya.

KKL menggunakan rangkaian Kolej Komuniti terdekat, seperti Kolej Komuniti Segamat dan Muar untuk memberikan kursus-kursus bersesuaian kepada masyarakat setempat, khususnya di Ledang. KKL juga bekerjasama rapat dengan jabatan dan agensi dalam Daerah Ledang bagi memastikan peserta kursus mendapat tenaga pengajar berkredibiliti dan mahir dalam bidang mereka.

Pada tahun ini, KKL dapat melaksanakan enam kali program masuk ke kampung berbanding tiga kali pada tahun lepas. Enam siri jelajah kampung dalam kawasan Ledang ini melibatkan kawasan Taman Sialang, Tangkak, Kg. Parit Medan, Kundang Ulu, Kg. Sagil Parit 3, Kg. Parit Simpang, Kundang Ulu, Kg. Parit Hj. Idris dan terakhir di Kg. Parit Pulai di mana  majlis penutupan siri jelajah kampung ini diadakan.

Majlis penutupan siri jelajah kampung Kolej Komuniti Ledang pada 12 November lalu dirasmikan oleh Ahli Parlimen Ledang, Datuk Hj. Hamim Samuri. Kira-kira 50 orang kampung mendaftarkan diri untuk menyertai kursus pendek pada hari itu.

 

Tinggalkan komen anda