
Oleh Norhafiezah Aziz, Zuraidah Ahmad & Johnny Joklis (Sabah)
KOTA KINABALU, 28 Nov (Malaysiaktif) – Jabatan Penerangan (JaPen) Sabah menerima Lawatan Sambil Belajar daripada rombongan Jabatan Komunikasi Korporat (JKK) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam di Wisma Dang Bandang Rabu lepas.
Rombongan seramai 10 orang yang diketuai oleh Pegawai Penyelaras JKK, Nurul Afnieza Md Zain bertujuan untuk bertukar pendapat dan berkongsi kemahiran, khususnya dari segi pengurusan, pengendalian majlis, jaringan komunikasi serta media.
Nurul Afnieza, turut memaklumkan perkongsian ini penting disebabkan pihak UiTM Kampus Sabah di Kuala Menggatal, buat pertama kalinya akan mengadakan Majlis Konvokesyen pertamanya sejak lebih 40 tahun penubuhannya di Sabah.”
Kampus UiTM yang dahulunya dikenali sebagai Institut Teknologi Mara adalah merupakan kampus Cawangan yang pertama dan tertua antara Kampus UiTM lain di seluruh Malaysia, sebelum ia dinaiktarafkan ke Universiti Teknologi Mara hari ini.
Idea bagi mengadakan majlis konvokesyen ini juga sebenarnya pernah disuarakan untuk diadakan sejak 1998 lagi dan baru kali ini ia dilaksanakan di Kampus UiTM Kuala Menggatal Sabah pada Rabu lepas.
Pada lawatan itu, taklimat ringkas tentang jabatan turut disampaikan oleh Penolong Pengarah Cawangan Media, Ahmad Fauzi Lamsin dari Bahagian Media dan Komunikasi Korporat.