Skip to main content
HomeViral

Malaysia ke-3 Dalam ASEAN Sertai Program Pengecualian Visa AS

By 19 November 2015Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh Syed Fauzi Syd Mostapa (Putrajaya)

KUALA LUMPUR, 19 Nov (Malaysiaaktif) — Malaysia menjadi negara ke-39 di dunia dan ke-3 di ASEAN selepas Brunei dan Singapura menyertai Program Pengecualian Visa Amerika Syarikat (US VWP).

Program ini termeterai selepas perjanjian meningkatkan kerjasama pencegahan dan pembanterasan Jenayah Berat (PCSC) yang ditandatangani di sini pagi ini.

Dalam majlis tersebut, Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Alwi Ibrahim dan Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia, Joseph Yun bertukar-tukar perjanjian PCSC antara dua negara.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang hadir menyaksikan perjanjian tersebut, berkata sebanyak 1.2 juta cap jari data biometrik akan digunakan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam meneliti senarai suspek.

Ini, menurut beliau bagi menentukan jika pengganas atau yang disyaki pengganas ada dalam negara dan begitu juga jika ada pengganas luar yang dijangka menggunakan Malaysia sebagai transit, maka senarai ini akan digunakan.

Beliau turut menyatakan Malaysia bersedia menghadapi sebarang kemungkinan serangan pihak tertentu, seperti yang berlaku di Paris.

Tegasnya, serangan di Paris menjadi semacam suatu motivasi dalam kalangan pengganas untuk melakukan perkara yang sama di Malaysia.

Tambahnya, KDN dan PDRM telah meningkatkan kesiapsiagaan di pintu masuk udara, darat dan laut melalui kerjasama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), polis marin dan beberapa agensi penguatkuasaan lain.

Pada 13 November lalu, seluruh dunia bersedih apabila dianggarkan lebih 100 orang terbunuh dalam serangan di dewan konsert Bataclan, restoran-restoran di pusat bandar dan berhampiran Stade de France.

 

Tinggalkan komen anda