Skip to main content
EkonomiHomeViral

Ekonomi ASEAN Tumbuh 5.6 Peratus Setahun Hingga 2019

By 20 November 2015Tiada komen2 minit bacaan

 

KUALA LUMPUR, 20 Nov — ASEAN dijangka mencatat keluaran dalam negara kasar (KDNK) tahunan pada purata 5.6 peratus hingga 2019, susulan pelaksanaan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC), kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Berdasarkan cadangan pelaksanaan AEC, saya yakin kemasukan pelaburan langsung asing akan terus meningkat dengan baik pada masa akan datang,” katanya dalam ucaptama pada Sidang Kemuncak Perniagaan dan Pelaburan ASEAN 2015, di sini pada Jumaat.

Najib turut memuji ASEAN yang mencatat pertumbuhan ekonomi yang konsisten sepanjang dekad lepas.

“Saya yakin kita mampu mengekalkan peluasan ekonomi masing-masing, menyediakan kemakmuran dan meningkatkan taraf hidup rakyat jelata.

“Untuk itu, kita perlukan pelaburan asing selain pelaburan ASEAN,” kata Perdana Menteri.

Najib berkata sebagai destinasi yang menarik kepada perniagaan dan pelabur, ASEAN akan mewujudkan peluang ekonomi serta pekerjaan.

“Sudah menjadi tanggungjawab kita bersama untuk meningkatkan taraf hidup untuk semua di ASEAN,” katanya.

Tahun lepas, Perdana Menteri berkata FDI ASEAN, secara kolektif, berjumlah US$136 bilion, lebih tinggi berbanding Amerika Syarikat (AS) dan China.

Beliau berkata Kesatuan Eropah terus menjadi pelabur utama di ASEAN, menyumbang 21.5 peratus, diikuti Jepun (9.8 peratus) dan AS (9.6 peratus).

Najib juga menegaskan mengenai pentingnya kerjasama awam-swasta dan peranan sektor swasta dalam memacu ekonomi.

“Andai kita mahu membuka potensi sepenuhnya dan mewujudkan lebih banyak kekayaan, sektor swastalah yang akan menjadi tenaga pemacunya, dan kami sebagai pemimpin politik, mesti memperakuinya, (dan yakin) terhadap kerjasama pintar,” kata Najib.

Sementara itu, Perdana Menteri mengulangi komitmen beliau untuk melaksanakan cadangan Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ABAC), yang beliau anggap boleh dilaksanakan dan menyokong komuniti perniagaan di rantau ini.

Najib berkata antara cadangan ABAC ialah kad perjalanan ASEAN dan laluan perjalanan ASEAN bagi memudahkan pergerakan penumpang ASEAN di lapangan terbang di rantau ini.

“Saya akan memperjuangkan apa yang anda (ABAC) bincangkan.

“Bagi saya inilah peringkat perjalanan kita seterusnya. Dan apabila kita isytiharkan diri kita satu komuniti, perlulah ada perasaan itu dalam jiwa kita, jiwa ASEAN,” kata Perdana Menteri.

— BERNAMA

 

Tinggalkan komen anda