Skip to main content
EkonomiHome

Pandikar – “Saya Rela Undur Diri Jika Debat 1MDB Diteruskan”

By 3 November 2015Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh Faris Fuad (Putrajaya)

KUALA LUMPUR, 3 Nov (Malaysiaaktif) —  Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia hari ini mengumumkan beliau sedia meletakkan jawatan sebagai speaker jika perdebatan antara Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua dengan Presiden dan Pengarah Eksekutif Kumpulan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Arul Kanda Kandasamy diteruskan.

Beliau berpendapat siaran debat itu tidak wajar kerana Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) masih lagi menjalankan siasatan terhadap syarikat pelaburan itu.

“Berdebat ini tiada kesimpulan, kalau saya benarkan perdebatan ini, seolah-olah perdebatan lagi penting daripada siasatan PAC, kalau begitu, selepas ini tidak perlu wujudkan sebarang jawatankuasa, cukup dengan debat sahaja,” katanya dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

“Kalau kerajaan mahu teruskan perdebatan ini, saya tidak akan libatkan diri, malah, saya akan mengundur diri sebagai Speaker Dewan Rakyat.”

Walau bagaimanapun, beliau memaklumkan perdebatan itu hanya boleh dijalankan dengan syarat kedua-dua individu terbabit tidak akan melibatkan diri dalam mana-mana siasatan PAC berkaitan isu tersebut.

“Saya benarkan dengan syarat bahawa Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara harus meletakkan jawatan dari PAC atau tidak meletakkan jawatan tetapi tidak melibatkan diri mana-mana bahagian siasatan PAC yang melibatkan 1MDB.”

“Syarat kedua adalah Arul Kanda tidak boleh lagi terlibat (sebagai saksi) dalam mana-mana prosiding siasatan PAC, ini bagi mengekalkan ketelusan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Pandikar juga menolak dakwaan beberapa pihak yang mengatakan beliau telah berbincang dengan pihak eksekutif sebelum membuat keputusan itu.

“Kita semua ada peranan masing-masing. Menjadi peranan saya sebagai speaker untuk melihat jika Peraturan Mesyuarat dipatuhi.”

“Saya perlu buat kerja saya,” tegasnya lagi.

Sebelum ini, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak memaklumkan debat tersebut akan disiarkan secara langsung di saluran RTM pada Jumaat, 6 November, bermula jam 9 hingga 10 malam.

Beliau berkata debat tersebut akan dikendalikan seorang moderator RTM dengan harapan supaya masyarakat dapat pencerahan secara menyeluruh bagi pemahaman semua rakyat.

 

Tinggalkan komen anda