Skip to main content
HomeViral

Pemimpin Dunia Di KL Untuk Mesyuarat ASEAN

By 16 November 2015Tiada komen2 minit bacaan

 

KUALA LUMPUR, 16 Nov  — Pemimpin-pemimpin dunia termasuk Presiden Amerika Syarikat Barack Obama dijadual menyertai Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika Malaysia menjadi hos bagi Sidang Kemuncak ASEAN ke-27 dan Sidang-sidang Berkaitan minggu ini.

Banyak perkara akan dibincangkan semasa pemimpin-pemimpin serantau, dan rakan sejawatan mereka dari kumpulan dialog ASEAN, bermesyuarat di ibu negara Malaysia dari 18 hingga 22 Nov, dipengerusikan oleh Perdana Menteri.

Utama dalam agenda ialah kelahiran Komuniti ASEAN pada 31 Dis, 2015, satu peristiwa besar dalam sejarah pertubuhan berusia 48 tahun itu yang akan dicatatkan di Kuala Lumpur menerusi upacara menandatangani satu deklarasi oleh pemimpin-pemimpin rantau berkenaan.

Mereka juga dijangka mengeluarkan satu lagi dokumen yang merangka haluan ke hadapan bagi Komuniti ASEAN dalam tempoh 10 tahun akan datang hingga 2025.

Kumpulan 10-negara itu dianggotai Brunei Darussalam, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.

Pemimpin-pemimpin Asia Tenggara itu akan juga mengadakan sidang kemuncak dengan rakan dialog ASEAN – China, Jepun, Korea Selatan, India, Russia, Australia, New Zealand, Amerika Syarikat, dan juga Pertubuhan Bangsa Bersatu.

Siri mesyuarat peringkat tinggi itu, termasuk Sidang Kemuncak Asia Timur ke-10, akan berlangsung ketika masyarakat dunia berdepan dengan kesan serangan ganas di Paris Jumaat lepas yang mengorbankan lebih 100 orang dan mendapat kutukan seluruh dunia.

Pemimpin-pemimpin itu yang akan berhimpun di dewan besar Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, venue sidang ASEAN dan sidang-sidang ASEAN berkaitan, dijangka memberi perhatian terhadap usaha menentang keganasan dan ekstremisme.

Juga dalam menu ialah perkara-perkara berkaitan isu Laut China Selatan, pergerakan tidak tetap orang-orang dan masalah jerebu bermusim yang menjejas rantau berkenaan.

Sementara itu, beberapa acara lain di luar sidang juga telah diatur termasuk Persidangan Inovasi Perkhidmatan Awam ASEAN, Sidang Kemuncak Pemimpin Muda ASEAN, dan Sidang Kemuncak Bisnes dan Pelaburan ASEAN 2015.

Program untuk isteri-isteri pemimpin menampilkan beberapa acara menarik seperti sesi mengenai ‘Suara Wanita ASEAN: Meninjau Peluang Perniagaan untuk Wanita Desa’.

Acara masakan dan budaya ASEAN yang pelbagai akan juga ditampilkan pada perhimpunan Kuala Lumpur itu.

 

— BERNAMA

 

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda