
Oleh Khairul Izham Zakaria (Hutan Melintang)
HUTAN MELINTANG, 5 Nov (Malaysiaaktif) – Banjir kilat berlaku di kawasan Taman Selasih, Taman Sri Ishak dan sekitar kawasan Perumahan Awam 1 dan 2 di sini semalam.
Menurut penduduk setempat, kejadian ini bukan pertama kali dialami, malahan setiap kali hujan lebat melebihi satu setengah jam, pasti berlaku banjir.
Walau bagaimanapun, kejadian terbaharu ini tidak memerlukan pemindahan penduduk ke pusat pemindahan banjir.
Seorang penduduk yang hanya dikenali sebagai Asiah dari Taman Selasih berkata, kedudukan kawasan berkenaan sentiasa berisiko banjir kerana berada di bawah paras laut. Ini menyebabkan air daripada longkang tidak dapat mengalir ke longkang besar.
Rata-rata penduduk di kawasan ini berkata tindakan membersihkan longkang tersumbat tidak dapat mengatasi masalah yang dihadapi kerana ketiadaan kolam takungan banjir.
Yang membimbangkan penduduk bukan kerana kerap berlaku banjir kilat, tetapi kerana air melimpah masuk ke dalam rumah dan merosakan harta benda yang diletak rendah.
Mereka juga mendakwa walaupun projek pengubahsuaian longkang pernah dilaksanakan, namun kesannya lebih buruk berbanding sebelumnya.