
Oleh Mohd Zihan Zari (Kuala Muda)
SUNGAI PETANI, 11 Dis (Malaysiaaktif) — Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Kuala Muda menahan pasangan suami isteri yang didakwa memiliki dadah jenis opiat dan methaphetamine dalam serbuan ke sebuah rumah dalam operasi khas di Kampung Bendang Dalam, di sini, Selasa lepas.
Penolong Pegawai AADK Kuala Muda, Mohd Fitri Amin Zainol berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan anggota AADK Kuala Muda yang diketuai oleh, Pembantu AADK Kanan, Mustapha Kamal Musa telah membuat serbuan ke rumah kampung tersebut pada kira-kira pukul 11.00 pagi. Mereka mendapat kerjasama ibu lelaki tersebut yang membenarkan pemeriksaan dijalankan dan didapati pasangan suami isteri tersebut berada di dalam bilik tidur.
Setelah disoal siasat, pasangan suami isteri yang masing-masing berumur 30 dan 23 tahun itu mengeluarkan dadah jenis opiat dan methaphetamine dalam simpanan mereka. Rumah tersebut disyaki digunakan sebagai pusat membungkus dadah untuk diedarkan ke sekitar Kampung Segantang Garam dan Kampung Sungai Deraka.
Mohd Fitri Amin memberitahu wartawan Malaysiaaktif bahawa pasangan suami isteri itu diserahkan kepada Jabatan Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda untuk siasatan lanjut. Mereka ditahan atas sabitan kesalahan memiliki dadah di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya, 1952.
Sementara itu, beliau berkata AADK Daerah Kuala Muda akan terus berusaha memerangi dadah dengan menjadikan Kuala Muda sebuah daerah kesejahteraan sosial yang selamat. Beliau juga mengharapkan kerjasama semua pihak, khususnya masyarakat supaya membantu menyampaikan maklumat.