
Oleh Faris Fuad (PWTC)
KUALA LUMPUR, 11 Dis (Malaysiaaktif) – Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Azalina Othman menasihatkan ahli Umno yang melontarkan kritikan seperti pembangkang supaya keluar parti.
Beliau berkata sebagai ahli ia menjadi tanggungjawab untuk meletakkan kepercayaan dan taat setia kepada pucuk pimpinan untuk menutup ruang bagi parti lain memberi kritikan negatif.
“Jika masih buka mulut dan bertindak sebaliknya, saya tak tahu kenapa masih berada di dalam parti? Saya pun keliru. Kalau tak gembira di dalam parti, pergi sahajalah.
“Sesiapa sahaja di dalam parti, tidak kira apa kedudukan anda, jika mahu bersuara seperti pembangkang namun dalam masa berkata masih ahli parti secara langsung atau tidak, ia memberi kekuatan kepada pembangkang, sila jadi ‘gentleman’ dan tinggalkan parti.
“Kesetiaan kita mesti kepada parti. Itu yang kita diajar selama ini. Saya sendiri akur dengan arahan pemimpin dan parti. Kita, sebagai ahli parti tidak boleh sesekali beri peluang kekuatan kepada pihak lawan,” katanya ketika ditemui media di PWTC hari ini.
Dalam pada itu, Azalina memaklumkan Najib telah menjawab semua persoalan mantan Presiden Umno, Tun Dr Mahathir Mohamad dan turut menasihatkan Tun supaya memberi fokus kepada isu-isu penting membabitkan parti seperti pilihan raya akan datang.
“Tetapi pada saya, sesiapa sahaja nak bercakap mereka kena berhati-hati dengan hasutan, fitnah. Banyak dakwaan boleh dibuat oleh sesiapa sahaja.
“Pada saya ucapan Najib semalam sudah menjelaskan sekali lagi tentang isu 1MDB dan dana RM2.6 bilion. Najib juga meminta Mahathir pandang ke depan bagaimana kita nak berdepan dengan pilihan raya akan datang,” katanya lagi.