
Oleh Pradeeb Kumar Velayutham (Putrajaya)
KUALA LUMPUR, 11 Dis (Malaysiaaktif) — Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Muslim Malaysia (Mimcoin) mengumpul sumbangan sebanyak RM 65,000.00 untuk disalurkan kepada mangsa banjir di Chennai, India.
Banjir yang melanda pantai tenggara India itu menjejaskan kehidupan kira-kira 4.6 juta penduduk berikutan hujan tanpa henti selama beberapa hari yang dianggap paling dahsyat dalam sejarah Bandaraya itu sejak beberapa dekad.
Ekoran bencana tersebut, MIMCOIN telah melancarkan kempen di seluruh negara bagi membolehkan MIMCOIN dan orang ramai membantu mangsa di sana dari segi makanan, bekalan perubatan dan usaha baik pulih.
Menurut MIMCOIN, semua sumbangan disalurkan hari ini kepada United Welfare Organisation (UNWO), sebuah NGO berpangkalan di Chennai yang terlibat secara aktif dalam pelbagai aktiviti sosial di sana.
Dalam satu sidang media yang diadakan hari ini, MIMCOIN mengucapkan terima kasih kepada pertubuhan-pertubuhan di Malaysia yang membantu, termasuk Persekutuan Pertubuhan India Muslim Malaysia (PERMIM), Kelab Belia Malaysia Muslim (MMYC) dan Yayasan FF di atas sokongan dan bantuan yang dihulurkan.
Sementara itu, orang ramai yang ingin menyumbang kepada mangsa banjir di Chennai boleh menyalurkannya kepada MIMCOIN menerusi Bank Islam, No. Akaun: 12131010005778.
Sebarang keterangan lanjut sila hubungi Shahul Hameed Dawood di talian 016-201 9838.