Skip to main content
HomeViral

Bunuh Sosilawati: Hukuman Mati Ke Atas 4 Lelaki Kekal

By 4 Disember 2015Tiada komen1 minit bacaan

 

PUTRAJAYA, 4 Nov — Mahkamah Rayuan di sini mengekalkan hukuman mati terhadap empat lelaki kerana membunuh jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga pembantunya, lima tahun lepas.

Keempat-empat lelaki itu ialah bekas peguam, N. Pathmanabhan, 45, dan pembantu ladang T. Thilaiyalagan, 23, R.Matan, 24, serta R. Kathavarayan, 35.

Panel tiga anggota dipengerusikan Hakim Datuk Aziah Ali, dalam keputusan sebulat suara, memutuskan bahawa sabitan terhadap mereka adalah kukuh.

Penghakiman dibacakan oleh Hakim Datuk Tengku Maimun Tuan Mat. Turut bersidang bersama panel itu ialah Hakim Datuk Seri Zakaria Sam.

Mereka menolak rayuan keempat-empat lelaki itu dan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi pada 25 Mei 2013 yang mendapati mereka bersalah membunuh Sosilawati, 47, pegawai bank Noorhisham Mohamad, 38, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44, dan menjatuhi hukuman mati terhadap mereka.

Mereka didakwa melakukan pembunuhan itu di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat, di Banting antara 8.30 malam dan 9.45 malam pada 30 Ogos 2010.

Sosilawati dan tiga pembantunya dilaporkan hilang selepas mereka dikatakan pergi ke Banting berhubung urus niaga jualan tanah.

Kehilangan mereka menjadi tajuk utama akhbar tempatan di seluruh negara.

Keempat-empat lelaki itu ditahan dan didakwa di mahkamah pada 2011.

 

— Bernama

 

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda