Skip to main content
Berita TempatanHome

Multaqa Serantau Alumni Al-Azhar Setuju Umno, Pas Bersatu Demi Perjuangan Islam

By 18 Disember 2015Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Oleh Faris Fuad KUALA LUMPUR, 18 Dis (Malaysiaaktif) – Multaqa Serantau Alumni Al-Azhar Malaysia 2015 yang mencapai hari kemuncaknya hari ini telah meluluskan tujuh cadangan termasuk menyeru kerjasama politik antara dua parti umat Islam terbesar di Malaysia iaitu Pas dan Umno.

Presiden Rabitah Antarabangsa Alumni Al-Azhar Malaysia (WAAGM), Prof Madya Datuk Dr Mohd Fakhrudin Abdul Mukti berpendapat seruaan itu akan mewujudkan masyarakat yang lebih bersatu padu dan harmoni.

“Oleh itu Multaqa telah memutuskan tujuh resolusi iaitu mengajak umat Islam agar bersatu, menjaga adab dalam berbeza pendapat, mewujudkan satu jawatankuasa penaja untuk mengadakan pertemuan berkala antara Pas-Umno.

“Selain itu umat Islam perlu teguh menghadapi cabaran semasa, perlu mengambil pandangan wasatiyah serta mengajak Umno-Pas bersatu dan juga perpaduan umat Islam di Malaysia perlu berpandukan al-Quran dan as-Sunnah,” katanya ketika  berucap di Hotel Grand Seasons hari ini.

Namun begitu, beliau berkata tidak semestinya dua parti terbabit perlu bergabung namun perlu mempunyai sepakat untuk memperjuangkan agama islam.

Jelasnya, ia penting bagi menolak pengaruh dan ajaran sesat masyarakat barat.

“Kerjasama itu tidak semestinya dileburkan menjadi satu namun perbincangan dan dialog secara efektif dan berterusan harus dilakukan agar wujud keakraban hubungan dan pandangan.

“Oleh itu Pas-Umno dapat menghadapi cabaran dalam usaha menentang ideologi barat dan ideologi asing,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata program tersebut mempunyai peranan dalam memupuk ajaran agama islam yang benar.

Jelasnya, seminar itu telah membawa ilmuwan yang boleh menjadi golongan penengah untuk merelisasikan impian bagi memantapkan lagi usaha menyatupadukan masyarakat islam.

“Ini perlu diberikan pencerahan dari semasa ke semasa dan saya amat bersetuju dengan resolusi yang ada yang dibentangkan dan mereka perlu berperanan aktif secara hakikatnya tidak ada kepentingan merebut kuasa.

“Apabila tidak ada kepentingan ini dan hanya ingin lihat umat, Islam dan negara stabil dan aman, saya kira apa saja isu yang merencatkan usaha ke arah perpaduan ini dapat kita jernihkan dan diatasi,” katanya selepas merasmikan Majlis Penutup Multaqa Serantau Alumni al-Azhar Malaysia di Hotel Grand Season hari ini.

Menurutnya, program yang berlangsung selama tiga hari itu dilihat berjalan dengan baik seperti yang dirancang.

“InsyaAllah, kita harus bersangka baik kepada Allah kerana Allah telah letakkan asas itu dalam al-Quran dan ini ujian besar kepada umat Islam.

“Kalau kita berjiwa besar seperti mana ditunjukkan oleh dua pemimpin umat Islam semalam iaitu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.”

Tinggalkan komen anda