
Oleh Fadzil Azma Mat Saad (Teluk Intan)
BAGAN DATOH, 6 Dis (Malaysiaaktif) — Kejayaan Karnival Sukan Air Bagan Datoh 2015 yang berlangsung di sini sejak Sabtu lepas muncul sebagai model kemampuan golongan belia mengadakan program bercorak kemasyarakatan bersama penduduk setempat.
Hampir 20,000 orang hadir menyaksikan pelbagai aktiviti diadakan, termasuk Lukisan Jalanan dan Grafiti (Street Art), Pertandingan BMX-X, Cabaran Drift (Drift Challenge), Cabaran Drone (Drone Challenge), Acara Berbasikal, Jetski, Bola Sepak Pantai, Pertandingan Memancing, Panjat Tiang Licin, Pukul Bantal, Pertandingan Menyelam Paling Lama dan pameran dari agensi-agensi kerajaan.
Seorang daripada tenaga penganjur karnival, Razak Ahmad, 23, berkata beliau berasa amat teruja dengan sambutan yang diberikan oleh belia Bagan Datoh terhadap BMX-X Games yang dikelolakannya sendiri itu.
Karnival Sukan Air Bagan Datoh bermula dengan acara Malam Cinta Rasul Bagan Datoh Berselawat pada Jumaat lepas yang menampilkan tokoh qasidah terkenal dari Indonesia, Habib Syech Abdul Qadir As-Seggaf.

Timbalan Perdana Menteri antara yang hadir pada majlis Malam Cinta Rasul Bagan Datoh Berselawat Jumaat lepas.
Karnival dirasmikan pada Sabtu lepas oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Zahid Hamidi. Turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan.
Majlis penutup semalam dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia Negeri Perak, Datuk Shahrul Zaman Yahya di Kompleks Pelancongan Bagan Datoh.