Skip to main content
Berita SarawakBerita TempatanHome

Kekal Suasana Aman,Makmur – Yang Dipertua Negeri Sarawak

By 24 Disember 2015Tiada komen2 minit bacaan

 

KUCHING, 24 Dis — Rakyat tanpa mengira agama telah saling berinteraksi sesama mereka untuk mengekalkan keharmonian dan cara hidup yang aman bermula dari zaman persekolahan hingga ke tempat kerja, kata Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud.

Beliau berkata masyarakat pelbagai etnik dan kaum di Sarawak telah mencapai tahap interaksi yang boleh membina masyarakat untuk mencapai keamanan, kemakmuran, saling menghormati dan kebahagiaan untuk anggota masyarakat.

“Mesej inilah yang ingin saya sampaikan kepada semua, tanpa mengira siapa mereka dan kumpulan etnik dan agama yang mereka tergolong supaya kita dapat terus hidup dalam suasana aman dan makmur, yang telah kita nikmati dan pupuk lebih 50 tahun kita hidup bersama, untuk menjadikan kita lebih baik pada masa depan.

“Kita bukan sahaja melihat ke hadapan sehingga tahun 2020 untuk kita mencapai kemakmuran yang kita rancangkan, tetapi merenung ke tahun 2030 untuk membolehkan kita mencapai kemakmuran yang lebih bermakna untuk rakyat di seluruh negeri ini,” katanya.

Taib berkata demikian dalam perutusan khas bersempena sambutan Hari Krismas esok dan sambutan Tahun Baharu 2016.

Taib berkata, kadang-kala peluang pekerjaan berdasarkan sumber semulajadi dan tempat yang dipilih oleh pelabur dan syarikat-syarikat besar, yang melaburkan sejumlah besar wang, menjadikan tarikan orang berhijrah ke kawasan tertentu.

“Bagaimanapun, adalah jelas bahawa setiap kumpulan etnik akan mengalami satu bentuk migrasi oleh anak muda ke kawasan bandar, yang dapat menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan. Perkembangan baharu ini tidak dapat dielakkan.

“Atas sebab ini, saya rasa adalah lebih baik bagi kita untuk memanfaatkan interaksi dalam kehidupan dan pengalaman sebelumnya hidup dalam komuniti untuk membina masyarakat yang lebih progresif, bersatu-padu, aman dan harmoni dan untuk memupuk hubungan yang baik antara semua kumpulan etnik dan agama di negeri dan negara,” kata beliau.

Taib seterusnya menarik perhatian mengenai pembangunan positif dan memelihara hubungan baik antara semua kumpulan etnik dan agama di negeri ini dan negara.

“Selamat menyambut Hari Krismas dan semoga Tuhan yang Maha Berkuasa terus melindungi kita.

“Saya juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat menyambut Tahun Baharu yang penuh gembira dan sejahtera kepada semua rakyat Sarawak walau di mana mereka berada.

“Semoga Tahun Baharu membawa Sarawak ke tahap pembangunan dan kemajuan yang lebih pesat seperti dirancang dan semoga rakyat terus hidup dalam kemakmuran dan mencapai kejayaan yang lebih besar dalam apa jua bidang yang mereka ceburi,” kata beliau.

— BERNAMA

 

Tinggalkan komen anda