Skip to main content
EkonomiHomeViral

Lebih 30 Billion Hasil GST Dikutip – Jabatan Kastam

By 15 Disember 2015Tiada komen1 minit bacaan

 

Oleh Faris Fuad 

MELAKA, 15 Dis (Malaysiaaktif) – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mengesahkan semalam bahawa sebanyak RM30 bilion berjaya diperoleh pihaknya menerusi  kutipan hasil Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang telah dikuatkuasakan sejak April lepas.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan/Pematuhan), Datuk Matrang Suhaili berkata jumlah tersebut merupakan kutipan daripada lebih 400,000 syarikat berdaftar.

Jelasnya, jumlah yang dikutip melepasi sasaran pihaknya dan JKDM menjangkakan ia bertambah tahun depan.

“Setakat ini, kami (JKDM) belum diberikan sasaran (untuk kutipan tahun depan),” katanya selepas menutup Kursus Asas Penguasa Kastam Gred W41 Siri 4/2015, di Akademi Kastam Diraja Malaysia, Bukit Baru, Melaka.

Dalam perkembangan berkaitan, seramai 250 penguasa kastam telah menerima sijil selepas menjalani latihan selama lapan minggu dan Ruslyana Farahana Ruslee muncul sebagai penerima Anugerah Keseluruhan Terbaik.

Dalam pada itu, pihaknya telah berjaya menempatkan lebih 1,000 pegawai di bawah bahagian GST jabatan tersebut.

“Kakitangan yang kita ada ini adalah bagi memenuhi keperluan semasa GST dan mengisi kekosongan mereka yang pencen dan bersara. Mereka ditempatkan di setiap negeri di seluruh negara, mengikut cabang dan kekosongan,” katanya lagi.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberi jaminan bahawa hasil tambahan yang diperoleh kerajaan melalui pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) akan digunakan untuk kebaikan rakyat dan negara.

Beliau berkata apabila pendapatan negara bertambah, kerajaan akan memulangkan hasil tersebut secara telus kepada rakyat melalui pelbagai rancangan yang memberi manfaat kepada mereka.

 

Tinggalkan komen anda