Skip to main content
Berita TempatanJohor

Lebih Mesra Rakyat: JAIJ Lancar Berzanji Dalam Bahasa Melayu

By 28 Disember 2015Tiada komen1 minit bacaan

 

Oleh Zuriatina Tamat (Tangkak)

TANGKAK 28 Dis (Malaysiaaktif) — Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAIJ) Khamis lepas melancarkan Berzanji dalam Bahasa Melayu sebanyak lima rawi, iaitu bacaan rawi 1, 3, 4, 5 dan 6.

Ia dirakamkan oleh Timbalan Imam Besar Negeri Johor, Datuk Haji Mahat Mohd Said, di bawah pengurusan Bahagian Pengurusan Masjid dan Surau, Unit Masjid Negeri.

Majlis yang dianjurkan sempena Sambutan Maulidur Peringkat Negeri Johor di Masjid Bandar Tangkak ini dirasmikan oleh Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor selaku wakil rasmi Sultan Johor, Datuk Abdul Rahim Ramli.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Agama Negeri Johor, Haji Abd Mutalib Abd Rahim, usaha JAIJ ini adalah selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri Johor memartabatkan Islam dengan mentarbiahkan masyarakat melalui pendekatan lebih mesra rakyat dalam pelbagai kaedah dan cara mengikut ajaran Ahli Sunnah wal Jamaah.

Katanya lagi, Malaysia telah menetapkan Mazhab Syafie sebagai mazhab dari Ahli Sunnah Wal Jamaah yang perlu diikuti, dan ummat Islam tidak perlu mengikuti ajaran lain sehingga terlalu taksub sampai menghalalkan darah sesama Islam serta mudah menganggap sesetengah perkara itu bidaah dan sebagainya. Ini merugikan kerana musuh-musuh Islam sentiasa menggambarkan Islam itu ganas, rosak, pelampau dan pemusnah.

Beliau berkata, pada tahun ini umat Islam bertuah kerana dapat menyambut tarikh kelahiran Nabi Muhammad s.a.w sebanyak dua kali, iaitu pada 3 Januari 2015 dan pada 24 Disember.

Antara acara sambutan kali ini termasuk perarakan sambil berselawat dan ceramah agama.

 

Tinggalkan komen anda