Skip to main content
Berita TempatanHomeMelakaRencana & PendapatViral

NBOS7: Pengawal Keselamatan Akhirnya Miliki Rumah Sendiri.

By 18 Disember 2015Tiada komen2 minit bacaan

Oleh Fauzrina Hj Bulka MELAKA, 17 DIS (Malaysiaaktif) – Penantian bertahun-tahun seorang pengawal keselamatan, Norashikin Suboh, 37, untuk memiliki rumah sendiri  berakhir secara rasminya hari ini apabila dia memperoleh kediaman baharunya.

Menerusi Program Strategi Lautan Biru Kebangsaan Ke Tujuh (NBOS7) Kejiranan Indah (My Beautiful Neighbourhood) Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia Negeri Melaka, rumah bernilai RM40,000 tersebut berjaya disiapkan dalam tempoh dua bulan bermula Ogos lalu.

Berkeluasan 600 kaki persegi, rumah itu dibina sendiri oleh 14 orang pegawai bomba Melaka yang bukan sahaja pakar dalam bidang memadam kebakaran tetapi juga mahir dalam bidang pertukangan dan pembinaan rumah.

Menurut Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar Melaka, Datuk Sazali Muhd Din, usaha-usaha ke arah meningkatkan kualiti perkhidmatan awam terutamanya dalam meningkatkan kualiti taraf hidup rakyat kini menjadi fokus utama kerajaan.

IMG_4415

Tambahnya, NBOS merupakan antara usaha berterusan yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan yang  memfokuskan tiga matlamat utama iaitu kos rendah, berimpak tinggi dan pelaksanaan pantas.

Sazali juga menyeru badan-badan korporat dan pertubuhan bukan kerajaan untuk bersama-sama membantu golongan yang memerlukan bantuan.

Dijangka pada 2016, Melaka bakal menerima lima unit bantuan perumahan berbanding hanya dua unit yang diterima tahun ini yang menunjukkan peningkatan bajet sebanyak RM3 juta berbanding RM1.27 juta pada 2015.

“Saya bagi pihak kerajaan negeri Melaka ingin merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan khususnya kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat kerana memilih Melaka bagi projek ini,” ujar Sazali yang merasmikan majlis yang berlangsung petang tadi.

Sazali turut memuji pihak Tenaga Nasional Berhad kerana membekalkan elektrik secara percuma kepada penerima bantuan. Beliau turut menghargai usaha Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung yang telah memberi maklumat yang tepat tentang penerima yang layak untuk dibantu.

Norashikin yang ditemui berkata, “Saya sangat bersyukur kerana terpilih bersama 30 penerima seluruh negara dan menghargai jasa pihak bomba yang bersungguh-sungguh membina rumah saya walaupun dalam cuaca yang tidak menentu”.

“Keadaan rumah sangat selesa untuk saya dan tiga orang anak. Rumah ini juga dapat menerima kehadiran adik-beradik saya yang ramai jika mereka pulang ke kampung pada hari raya nanti,” tambah Norashikin lagi.

Tinggalkan komen anda