Skip to main content
Berita TempatanHomeKuala Lumpur

“Nurul Izzah Sibuk Memperjuangkan Keluarga hingga ke Filipina,” Sazali Kamilan

By 18 Disember 2015Tiada komen2 minit bacaan

Oleh Sazaki Abdul Rahman dan Syaiful Harif Adnan KUALA LUMPUR, 18  Dis (Malaysiaaktif) – Setiausaha UMNO Bahagian Lembah Pantai, Datuk Sazali Kamilan menegaskan setiap minggu semua kepimpinan UMNO Bahagian Lembah Pantai turun padang menemui masyarakat Lembah Pantai dalam pelbagai majlis. Hal Ini berbeza dengan Nurul Izzah, Ahli Parlimen Lembah Pantai yang sibuk di luar kawasan memperjuangkan keluarga hingga ke Filipina.

Beliau berkata demikian untuk mengaitkan insiden  sebulan lalu apabila Nurul Izzah yang bergambar bersama Jacel Kiram, anak perempuan Sultan Sulu Jamalul Kiram III, mendesak pembebasan bapanya Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sazali ditemui semalam dalam program penyerahan bantuan ‘Back to School’ oleh UMNO dan Yayasan Wilayah Persekutuan (YMP) kepada keluarga yang kurang berkemampuan di Lembah Pantai.

Tambahnya, program tersebut merupakan siri ke-2 selepas program pertama yang telah dilakukan di Bank Rakyat dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

Sementara itu, menurut Ketua UMNO Lembah Pantai, Datuk Seri Utama Raja Nong Chik Zainal Abidin, sumbangan ini diharap dapat meringankan beban yang ditanggung ibu bapa terutama untuk menghadapi pembukaan sekolah awal Januari 2016 ini.

“Dengan kos sara hidup agak membebankan sekarang, program sebegini mampu meringankan belanja ibu bapa berpendapatan rendah di Lembah Pantai. Kita mahu melihat anak-anak ceria serta bersungguh-sungguh memasuki sesi persekolahan, sekali gus meningkatkan semangat mereka untuk belajar,” ujar beliau ketika merasmikan program tersebut di Pusat Komuniti Lembah Pantai.

Beliau juga menasihatkan semua pelajar supaya meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dan Matematik agar tidak ketinggalan dan dapat meningkatkan taraf hidup keluarga.

Dalam majlis tersebut, seramai 740 pelajar kurang berkemampuan Parlimen Lembah Pantai telah menerima bantuan beg sekolah dan wang tunai RM100.

Tinggalkan komen anda