Skip to main content
EkonomiHomeViral

1MDB Laksana 60% Ekuiti Saham Kepada IWH, CREC

By 31 Disember 2015Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh Faris Fuad

KUALA LUMPUR, 31 Dis (Malaysiaaktif) — 1Malaysia Development Berhad (1MDB) hari ini mengumumkan mereka akan menjual 60% ekuiti saham syarikat itu,Bandar Malaysia Sdn Bhd (BMSB) kepada dua konsortium, iaitu Iskandar Waterfront Holdings Sdn Bhd (IWH) dan China Railway Engineering Consortium (M) Sdn Bhd (CREC).

Perjanjian jual beli itu mengimbau kembali pelan rasionalisasi 1MDB yang dibentangkan ke Kabinet pada 29 Mei lepas.

Ia membabitkan pelaksanaan perjanjian helaian terma dengan Syarikat Pelaburan Antarabangsa Abu Dhabi (IPIC) pada Jun dan Perjanjian Jual Beli Saham dengan China General Nuclear Power Corporation dan anak syarikatnya (CGN Group) pada November 2015.

Presiden dan Pengarah Eksekutif Kumpulan 1Malaysia Development Bhd, Arul Kanda Kandasamy memaklumkan 1MDB akan menerima 10% deposit berikutan perjanjian itu dan transaksi penuh dijangka akan diterima pada akhir Jun 2016.

“Mereka akan mengambil alih baki, termasuk penempatan semula PUKL (Unit Polis Udara Sungai Besi), projek itu membabitkan kos keseluruhan RM2.7 billion.

“Terdapat juga sukuk nilai nasional RM2.4 bilion yang juga akan diambil alih oleh syarikat pembangunan projek,” katanya dalam sidang media di Royale Chulan, Kuala Lumpur hari ini.

Arul berkata nilai buku bandar Malaysia adalah RM 4.2 bilion menurut rekod yang pernah didedahkan kepada orang sebelum ini.

“Kita kini menjual pada kadar RM12.35 bilion, yang mencapai jangkaan kami dalam bentuk nilai target bagi pelan rasionalisasi,” tambahnya lagi.

Presiden juga menjelaskan keputusan 1MDB untuk menjalinkan kerjasama dengan BSM berikutan kepesatan pembangunannya yang dilihat sebagai satu-satunya lokasi besar di Kuala Lumpur yang berdekatan dengan pusat bandar.

Dalam pada itu, Arul menyifatkan tindakan itu sebagai menguntungkan dua belah pihak dan beliau mengakui pemilikan kini adalah 54% di bawah kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri manakala 46% di bawah sektor swasta, maka, ia tidak dianggap sebagai menjual BMSB kepada pihak negara China.

“Tiada keputusan dibuat mengenai pemindahan pemilikan baki 40% kepentingan dalam BMSB kepada Kementerian Kewangan.

“IWH, pemaju utama Flagship A sebahagian daripada Koridor Pembangunan Ekonomi Islandar Malaysia, adalah perkongsian awam swasta antara Credence Resources Sdn Bhd (60%) dan syarikat milik kerajaan negeri Johor, Kumpulan Prasarana Rakyat Johor Sdn Bhd (40%),” ujarnya.

IWH memiliki sejumlah 4,300 ekar tanah tepi laut yang bernilai tinggi di Iskandar Malaysia.

CREC adalah salah satu daripada firma kejuruteraan dan pembinaan yang terbesar di dunia, dan turut mempunyai perniagaan yang antaranya termasuk industri pengilangan, pembangunan hartanah, sumber asli dan bahan mineral.

 

Tinggalkan komen anda