Skip to main content
Berita TempatanEkonomiHomeRencana & Pendapat

Tiga Syarikat Lebuh Raya Beri Diskaun, Rebat Sempena Krismas

By 21 Disember 2015Tiada komen2 minit bacaan

Oleh: Faris Fuad KUALA LUMPUR, 21 Dis (Malaysiaaktif) – Tiga syarikat lebuh raya mengumumkan bahawa rebat dan diskaun tol akan diberikan kepada pengguna jalan raya sempena perayaan Krismas yang akan diraikan jumaat ini.

Ketua Pegawai Operasi PLUS Malaysia Berhad, Mohammad Fuad Khusairi mengesahkan semua pengguna kenderaan Kelas 1 yang menggunakan sistem elektronik untuk membayar tol akan mendapat rebat tol sebanyak 20 peratus pada hari tersebut.

“Rebat tol sebanyak 20 peratus itu akan dimasukkan ke dalam kad Touch ‘n Go atau kad PLUSMiles (dalam bentuk tambah nilai) pengguna antara 15 Januari 2016 hingga 14 April 2016,” katanya dalam satu kenyataan rasmi hari ini.

Penawaran tersebut turut melibatkan rangkaian lebuh raya PLUS iaitu Lebuh Raya Utara-Selatan, Lebuh Raya Butterworth-Kulim (BKE), Lebuh Raya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE) dan Jambatan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua).

Namun, rebat berkenaan tidak boleh digunakan di Plaza Tol Tanjung Kupang, Bukit Kayu Hitam, Bangunan Sultan Iskandar dan Jambatan Pulau Pinang.

Dalan pada itu, Syarikat Mengurus Air Banjir & Terowong Sdn Bhd (SMART) turut mengumumkan  diskaun sehingga 20 peratus kepada semua pengguna bermula pada pukul 6 pagi pada hari perayaan tersebut hingga 6 pagi keesokannya.

Ketua Pegawai Operasi Lebuhraya SMART, Mohd Fuad Kamal Ariffin berpendapat inisiatif tersebut merupakan tanda terima kasih kepada penggunanya yang menggunakan lebuh raya SMART pada hari tersebut.

Sementara itu, Maju Expressway Sdn Bhd turut mengambil peluang untuk menawarkan diskaun sebanyak 10 peratus kepada pengguna yang menggunakan Lebuh Raya Maju (MEX).

Pegawai Eksekutif Kanan Korporat MEX, Saiful Bakhri Mohd Annuar berkata, pemberian diskaun sebanyak 10 peratus itu bermula pada 12 tengah malam 25 Disember ini dan akan tamat pada 11.59 malam 26 Disember.

“Bagi pengguna yang melalui Plaza Tol Seri Kembangan masih lagi boleh menikmati laluan percuma sehingga diberitahu kelak,” katanya.

Tinggalkan komen anda