Skip to main content
HomeSabah

Ibu bapa murid SK Merampong memohon kemudahan ditambah baik

By 11 Januari 2016Tiada komen2 minit bacaan

Oleh ISNANIWATI BINTI GINULIS / Pradeeb Kumar Velayutham KENINGAU,SABAH 11 Jan (Malaysiaaktif) – Rata-rata ibu bapa yang ditemui  semasa awal persekolahan di SK Merampong,Keningau, Sabah, menzahirkan kekecewaan kerana keadaan kerusi dan meja murid-murid  yang rosak serta usang masih belum berganti dengan yang baharu.

Ketika murid-murid sekolah lain dapat belajar dengan selesa, murid di sekolah ini terpaksa menggunakan kerusi meja yang rosak dan usang . Malah terdapat antara murid-murid sekolah tersebut  yang terpaksa berkongsi meja kerana jumlah meja tidak mencukupi. Difahamkan guru-guru sekolah tersebut telah berusaha membaiki meja murid namun keadaan kerusi meja tersebut tidak memungkinkan pembaikan dilaksanakan kecuali diganti dengan kerusi meja yang baharu.

Menurut kebanyakan ibu bapa yang ditemu bual,  sekolah ini memerlukan lebih  banyak kemudahan , tetapi perkara yang amat mendesak ketika ini ialah kerusi meja yang rosak dan terlalu usang serta perlu diganti segera demi keselamatan dan  keselesaan para murid. Selain daripada kerusi meja, bangunan sekolah juga memerlukan pembaikpulihan dengan segera.

Hasil tinjauan juga mendapati terdapat pelbagai  kerosakan pada dinding dan cermin tingkap sekolah tersebut . Sebuah dewan kecil  juga perlu disediakan bagi keselesaan murid di sekolah ini.

Selain itu, Dewan terbuka sekolah ini juga  digunakan sebagai dewan makan RMT para murid dan juga sebagai  kelas pemulihan serta  untuk aktiviti-aktiviti yang lain.  Pada masa yang sama, didapati juga Bilik Guru amat sempit yang mana hanya satu, meja panjang dikongsi oleh dua orang guru.

Difahamkan, permohonan untuk mendapatkan kerusi meja yang baharu telah dipanjangkan kepada pihak berwajib  sejak dua tahun lalu namun sehingga kini masih belum ada sebarang tindakan susulan. Sehubungan itu Ibu bapa para murid sekolah tersebut berharap pihak Jabatan Pendidikan Daerah Keningau dapat memberikan berita gembira buat sekolah ini yang menempatkan 350  murid dan 32 orang guru pada tahun ini.

Tinggalkan komen anda