Skip to main content
Berita TempatanHomeViral

Sifat Kreatif, Inovatif Penting Tingkatkan Produktiviti Negara

By 11 Januari 2016Tiada komen2 minit bacaan

Oleh: Faris Fuad PUTRAJAYA, 11 Jan (Malaysiaaktif) – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menggesa anggota kerajaan untuk mengoptimumkan perbelanjaan bagi mengawal aliran kewangan sistem pentadbiran kerajaan pada tahun ini.

Beliau berkata penjawat awam perlu lebih inovatif dan kreatif untuk meningkatkan produktiviti.

Jelasnya, dua ciri tersebut penting bagi memastikan pentadbiran kerajaan diperkuatkan bagi meningkatkan produktiviti faktor luaran yang tidak dapat dikawal oleh Malaysia.

“Mengoptimumkan perbelanjaan tidak bermaksud sebagai langkah ‘austerity’ (jimat cermat) potong sana potong sini, tetapi kita melihat bagaimana setiap ringgit yang akan dibelanjakan boleh mendatangkan hasil dan kesan yang paling besar.

“Selain itu, kita boleh tambah lagi usaha kita bukan bermaksud kerja keras sahaja, tetapi menggunakan minda kita berfikir secara kreatif dan inovatif untuk meningkatkan produktiviti. Saya selalu tekankan ‘give me solution’ (beri saya penyelesaian),” katanya dalam amanatnya pada perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang pertama bagi 2016 hari ini.

Dalam pada itu, beliau juga telah melahirkan hasrat untuk menubuhkan satu kumpulan kecil bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Setiausaha Negara bagi menyelesaikan projek-projek yang tergendala.

“Kita akan panggil agensi atau kementerian berkaitan untuk melihat apa yang menyebabkan sesuatu projek itu lambat.

“Kita akan lihat jika ada proses yang melambatkan, menyusahkan. Saya minta pihak ICU (Unit Penyelarasan Pelaksanaan) jadi sekretariat bagi mengenal pasti tempat-tempat tertentu yang boleh diberi tumpuan,” katanya.

Menurutnya, anggota kerajaan perlu melihat kembali misi perjuangan negara untuk memastikan status negara maju dapat dicapai.

Jelasnya, walaupun rakyat tidak mempunyai kuasa untuk mengubah keadaan ekonomi negara namun mereka sentiasa menyokong semua program anjuran kerajaan demi kebaikan bersama.

“Ayuh terus maju. Agenda kita besar, agenda kita untuk negara, untuk rakyat dan untuk kesejahteraan kita bersama.

“Isu sensitif kita cuba cari jalan penyelesaian. Jangan biarkan ia menjadi duri dalam daging yang boleh menyebabkan masalah dari segi keselamatan atau hubungan kaum sesama kita,” katanya.

Tinggalkan komen anda