Skip to main content
Berita TempatanSabah

Kepelbagaian Budaya Sabah Wajar Dipertahankan

By 23 Januari 2016Januari 25th, 2016Tiada komen1 minit bacaan

 

Oleh Eviannie & Saiful Rahman (Sabah)

KOTA KINABALU, 23 Jan 2016 (Malaysiaktif) – Masyarakat perlu terus menunjukkan bahawa kepelbagaian latar belakang bukan satu cabaran untuk terus hidup secara aman dan harmoni.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Musa Aman menjelaskan usaha ini perlu melibatkan seluruh lapisan masyarakat untuk bekerjasama dan komited ke arah keamanan dan keharmonian untuk manfaat generasi masa hadapan.

“Di Sabah khususnya, kita perlu sentiasa mengamalkan perasaan saling hormat-menghormati antara satu sama lain.

“Budaya ini perlu diteruskan dari semasa ke semasa supaya kita boleh hidup secara aman dah harmoni,” katanya kepada media selepas merasmikan Pesta Tarian Naga, Unikorn dan Singa 2016 di Dewan Serba guna Kompleks Sukan Likas baru-baru ini.

Musa juga percaya penganjuran festival tahunan itu banyak membantu mengetengahkan kepelbagaian budaya di Sabah, bukan sahaja kepada rakyat di negeri ini tetapi juga kepada pengunjung dari dalam dan luar negara.

“Sehubungan itu, saya optimis bahawa festival ini berupaya mempromosikan kebudayaan masyarakat Cina sekali gus menarik lebih ramai pengunjung ke Negeri Sabah, khususnya di Bandaraya Kota Kinabalu,”kata beliau.

Sementara itu, Presiden Persatuan Masyarakat Cina Bersekutu Sabah, John Lim Su Yin berkata tujuan utama festival berkenaan adalah untuk memperkembangkan budaya warisan kepada generasi muda di samping memeriahkan suasana menjelang sambutan Tahun Baharu Cina.

Tambahnya, festival tersebut juga mampu menarik perhatian masyarakat berbilang kaum, agama dan latar belakang yang mampu  merapatkan lagi hubungan dan menggalakkan perpaduan rakyat.

 

Tinggalkan komen anda