Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomeSelangor

Thaipusam Disambut Meriah di Batu Caves

By 24 Januari 2016Januari 25th, 2016Tiada komen1 minit bacaan

 

Oleh Mohd Zaid Awang (Gombak)

BATU CAVES, 24 Jan (Malaysiaaktif) – Ribuan penganut agama Hindu yang menyambut perayaan Thaipusam hari ini memulakan perarakan dengan membawa patung Dewa Muruga dari Kuil Sri Maha Mariamman di Jalan Tun H.S.Lee Kuala Lumpur ke Kuil Sri Subramaniyar Swami di Batu Caves.

Menurut Pengerusi Kuil Batu Caves, Tan Sri R.Nadarajah, perarakan Pedati Perak sejauh 13 kilometer mula bergerak pada 10 malam kelmarin. Mereka tiba di pekarangan kuil Batu Caves pada petang semalam.

Tambahnya, Thaipusam merupakan perayaan yang disambut oleh penganut Hindu di seluruh dunia semasa bulan penuh Tamil yang dipanggil ‘Thai’ bagi memperingati hari lahir Dewa Muruga, iaitu anak bongsu lelaki Dewa Shiva dan Dewi Parvati.

“Perayaan ini disambut untuk memperingati peristiwa Dewa Muruga menerima lembing suci daripada ibunya bagi menghapuskan kuasa jahat bernama Soorapadman serta mengembalikan kemakmuran dan kesejahteraan manusia,” ujar beliau.

Sempena Thaipusam, penganut agama Hindu akan menunaikan nazar mereka dengan menjunjung ‘Paal Kudam’ (belanga susu) yang dianggap paling suci, menjunjung ‘kavadi’ yang dihiasi cantik sambil menaiki 272 anak tangga Batu Caves menuju ke kuil di dalam gua tersebut.

Ribuan penganut Hindu dan pelancong membanjiri Kuil Sri Subramaniyar Swami, Batu Caves dengan kawalan keselamatan oleh  kira-kira 2,000 anggota polis.

 

Tinggalkan komen anda