Skip to main content
Berita TempatanSabah

Kg Brunei Membakut Bakal Terima Masjid Baharu RM 2.9 Juta

By 27 Januari 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh Zuraidah Ahmad & Johny George Kimlon (Sabah)

MEMBAKUT, 27 Jan 2016 (Malaysiaktif) –? Masyarakat Islam di Kampung Brunei  kini lega apabila masjid baharu yang menggantikan masjid lama mula dibina dan dijadualkan siap dalam masa dua tahun.

Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri merangkap Ahli DEwan Undangan Negeri Kawasan Membakut, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif berkata pembinaan masjid baharu bernilai RM2.9 juta itu dibina di atas tanah wakaf seluas 1.9 ekar oleh kontraktor, Kumpulan FADA dan dipantau pihak Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS).

“Masjid baharu ini sangat diperlukan oleh masyarakat Kampung Brunei memandangkan masjid lama yang berusia lebih 50 tahun itu telah uzur dan sering dimasuki air banjir.

 

Arifin Masjid Kg brunei 4

 

“Masjid dua tingkat itu mampu menampung 500 jemaah serta mempunyai pelbagai kemudahan seperti ruang parkir, anjung kereta orang kenamaan, bilik audio, dewan terbuka dan sebagainya.

“Kita berharap projek ini akan dilaksanakan dengan baik oleh pihak kontraktor yang berkualiti dan JHEAINS pula akan memantau bagi  mengelakkan sebarang masalah seperti terbengkalai atau kelewatan,” ujarnya.

Beliau demikian kepada media selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Tapak Masjid Cahaya Hikmah Kampung Brunei tengah hari tadi.

Sementara itu, menyentuh isu hadis palsu yang kini menular dalam laman sosial, Arifin menasihatkan orang Islam merujuk terus kepada Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), Pejabat Mufti dan para pegawai jabatan agama yang bertauliah.

Menurutnya, kekeliruan berlaku disebabkan orang yang mengajar  tidak mempunyai tauliah daripada JHEAINS serta membawa ajaran yang tidak sesuai dengan budaya di sesebuah negeri.

“Pendakwah luar yang datang ke Sabah perlu mendapat keizinan dan mesti memahami masyarakat dan budaya di negeri ini.

“Pendakwah mestilah berdakwah secara hikmah. Hikmah merujuk kepada komunikasi yang baik, diplomasi dan ilmu. Jangan mengajar sembarangan sahaja sehingga ada ajaran sesat,” tegas beliau.

 

Tinggalkan komen anda