Skip to main content
Berita TempatanHomePerak

Kompleks KKMM Kini Kompleks Sultan Nazrin Muizzuddin Shah

By 8 Januari 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

IPOH, 8 Jan  — Kompleks Bersepadu Kementerian Komunikasi dan Multimedia di sini akan dikenali sebagai Kompleks Sultan Nazrin Muizzuddin Shah mulai esok, kata Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) Datuk Seri Dr Sharifah Zarah Syed Ahmad.

Beliau berkata kompleks yang terletak di Jalan Raja Musa Mahadi itu akan dirasmikan oleh Sultan Perak Sultan Nazrin Shah.

Sharifah Zarah berkata kementerian bangga kerana kompleks berkenaan akan menjadi bangunan pertama di Perak yang menggunakan nama Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

“Kita berasa bangga dan berbesar hati kepada kerajaan Perak kerana dapat memenuhi hasrat kementerian untuk menamakan kompleks ini dengan nama Tuanku,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau berharap kakitangan kementerian dapat memanfaatkan segala kemudahan yang ada di kompleks itu yang menempatkan pelbagai jabatan serta agensi di bawah kementerian.

Menjelas lanjut, Sharifah Zarah berkata sempena perasmian itu satu Konsert Diraja ‘Menjunjung Kasih’ akan diadakan di kompleks berkenaan pada esok malam.

Katanya Sultan Nazrin Shah dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim berkenan untuk berangkat menyaksikan konsert berkenaan yang dijangka dihadiri 500 orang.

Konsert selama 90 minit itu akan dimeriahkan beberapa artis ternama tanah air seperti Datuk M.Nasir, Ning Baizura, Noh salleh dan Alyah.

Selain itu, Sharifah Zarah berkata pelbagai acara menarik akan diadakan dua hari mulai esok di perkarangan kompleks berkenaan seperti pameran daripada pelbagai jabatan dan agensi bawah kementerian termasuk Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama).

“Acara lain ialah seperti pameran oleh syarikat telekomunikasi, persembahan pentas, ‘Fun stall’ dan permainan digital atau ‘digital games’,” katanya sambil mempelawa orang ramai berkunjung ke acara berkenaan.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda